NILAI ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ditutup tinggi kepada RM4.1755 pada 7 November yang lalu, iaitu peningkatan sebanyak 7.1 peratus dan merupakan paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan.
Mungkin ramai tersenyum lebar terutama dalam kalangan peniaga-peniaga dan firma-firma yang banyak mengimport barangan daripada luar negara.
Ini kerana kos mengimport bakal berkurangan disebabkan kuasa beli mereka yang meningkat.
Bagi mereka yang mempunyai anak yang belajar di United Kingdom (UK), pengukuhan ringgit berbanding pound sterling sebanyak 2.6 peratus dari awal tahun juga memberi sedikit kelegaan.
Bagi yang merancang untuk melancong ke Jepun pula, pengukuhan ringgit sebanyak 4.6 peratus juga memberi nafas lega disebabkan kos untuk berbelanja di Jepun nanti dijangka berkurangan.
Meskipun demikian, pengukuhan ringgit tidak menjejaskan momentum kemasukan pelancong asing ke Malaysia. Bagi tempoh lapan bulan pertama, kemasukan pelancong asing meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 17.8 juta orang.
Selain itu, pertumbuhan eksport negara juga dilihat mencatatkan kenaikan dua angka iaitu 12.2 peratus pada bulan September yang lalu. Jumlah pelaburan yang diluluskan pula melonjak sebanyak 18.7 peratus kepada RM190.3 bilion pada separuh tahun pertama 2025.
Sebahagian besar angka ini disumbangkan oleh pelabur asing yang mewakili 56.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.
Justeru, peningkatan nilai ringgit ini dilihat banyak memberi kesan positif kepada Malaysia.
Pelbagai faktor penyumbang kepada peningkatan nilai ringgit ini. Pertama adalah suasana ekonomi luaran terutamanya ekonomi di Amerika Syarikat (AS).
Dasar ekonomi yang melibatkan tarif import dijangka memberi kesan negatif kepada ekonomi mereka seperti kenaikan kos sara hidup.
Di samping itu, dasar pemotongan yang cukai yang bakal menguntungkan golongan atasan, dasar imigrasi yang dijangka menyebabkan kekurangan tenaga kerja dan yang terbaru, penutupan perkhidmatan kerajaan bakal memberi impak negatif kepada prospek pertumbuhan ekonomi AS.
Pada bulan Mei yang lalu, agensi penarafan kredit seperti Moody’s Rating telah mengurangkan penarafan kredit kerajaan AS daripada AAA kepada A1.
Oleh yang demikian, kerajaan AS tidak lagi berada dalam kelompok kredit yang paling kukuh. Jangkaan penurunan kadar faedah oleh pihak Fed pada bulan Disember dan pada tahun hadapan juga dijangka akan merapatkan jurang antara kadar faedah di AS dan Malaysia.
Terdapat juga faktor domestik seperti pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan Malaysia. Defisit fiskal merosot kepada RM49.8 bilion pada sembilan bulan pertama tahun 2025 berbanding RM58.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Ia disumbang oleh pertumbuhan hasil kerajaan yang lebih pesat berbanding perbelanjaan. Bagi tempoh sembilan pertama, hasil kerajaan meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada RM241.4 bilion manakala jumlah perbelanjaan pula meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM291.3 bilion.
Secara umumnya, kenaikan nilai ringgit ini adalah petanda bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih berkualiti. Berkualiti dalam erti kata produktiviti yang tinggi dan bersifat terangkum.
Namun, rakyat Malaysia disaran untuk terus berusaha dengan lebih rajin, berinovasi dan berintegriti. Usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai dasar telah dan sedang dilaksanakan.
Perjanjian tarif timbal balik dengan AS juga berjaya meredakan ketegangan dengan negara tersebut dan telah membuka peluang untuk firma-firma dan perniagaan di Malaysia untuk bergerak maju.
Umumnya, rakyat dan kerajaan serta pemegang-pemegang taruh yang lain tidak boleh terus berasa selesa. Sebaliknya perlu terus berusaha dan berpandangan positif agar hasilnya nanti akan menguntungkan semua pihak.
* Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad