LANGKAWI - Perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Malaysia-Thailand menemukan enam mayat lagi termasuk seorang kanak-kanak, sehingga jam 7 malam Ahad.
Angka terbaharu itu menjadikan kesemua tujuh mayat dijumpai setakat ini, terdiri daripada enam wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
Kesemua mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, bahawa tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang mungkin masih berada di laut.
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, dilaporkan berkata, mangsa dipercayai dihantar sindiket menggunakan kapal besar kira-kira 300 orang sebelum dipindahkan ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan negara.
"Sebuah bot yang membawa muatan kira-kira 90 orang dipercayai karam, manakala dua lagi masih belum dapat dikesan," katanya.
Kesemua mangsa dipercayai terdiri daripada warga Myanmar termasuk etnik Rohingya dan Bangladesh.
Menurutnya, setiap individu disyaki membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.
Bot karam: Sektor pencarian diperluas 170 batu nautika
LANGKAWI - Sektor pencarian operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa bot karam yang hanyut sehingga ke perairan negara membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI), telah diperluaskan meliputi 170 batu nautika persegi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis bagi melancarkan pergerakan.
Menurutnya, Op Carilamat susulan insiden bot karam membabitkan PATI di sempadan perairan Malaysia-Thailand pada Ahad itu ditangguhkan pada jam 7 dan akan bersambung semula pada Isnin.
"Orang ramai termasuk nelayan dan pengusaha bot pelancongan diminta melaporkan segera kepada pihak Maritim Malaysia dengan menghubungi 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 04-9662750 sekiranya menemui sebarang petunjuk atau mangsa bagi tindakan menyelamat," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, salah satu daripada tiga bot yang membawa kira-kira 300 penumpang PATI disyaki karam di Pulau Tarutao berdekatan perairan sempadan negara.
Mangsa terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh disyaki telah membayar sejumlah kira-kira RM13,000 kepada sindiket untuk perjalanan ke Malaysia.
Setakat ini, tujuh mayat ditemukan hanyut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.