KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak polis terus bekerja keras untuk memastikan pusat hiburan tidak berlesen yang menjadi sarang maksiat dibanteras.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, sebanyak 118 pusat hiburan di seluruh negara telah diperiksa pada Jumaat dan Sabtu lalu
"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 103 premis ini tidak mempunyai lesen hiburan sah.
"Polis juga telah menahan seramai 398 orang terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus premis, 150 pekerja, 112 pelanggan dan 128 pelayan pelanggan atau gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing.
"Kesemua yang ditahan membabitkan 87 warga tempatan dan 311 warga asing," katanya satu dalam kenyataan pada Ahad.
Serbuan tersebut dijalankan menerusi Op Noda melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman dan JSJ kontinjen negeri dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan.
M Kumar turut menjelaskan, pihak polis turut merampas sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan bagi tujuan hiburan di premis terbabit.
Sementara itu, kesemua individu yang ditangkap berusia dalam lingkungan 19 hingga 55 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah berhampiran untuk proses dokumentasi.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, enakmen hiburan serta ordinan hiburan negeri.
Sehubungn itu, M Kumar menegaskan bahawa operasi tersebut akan terus dipergiatkan bagi memastikan pusat hiburan beroperasi mengikut syarat lesen dan meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan tersebut.