Sidang DUN Kelantan tegang, pembangkang, kerajaan saling bangkit isu peruntukan

Iklan
Mohd Syahbuddin - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Ahad sedikit tegang apabila wakil rakyat pembangkang dan kerajaan saling mempertikai isu keadilan pengagihan peruntukan pembangunan di kawasan masing-masing.

Ketegangan tercetus apabila Ketua Pembangkang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim membangkitkan janji kerajaan negeri yang menurutnya belum menunaikan agihan dana secara adil kepada semua wakil rakyat seperti diumumkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

“Saya tertarik dengan ucapan ADUN Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus tadi yang menyatakan keadilan perlu diberikan kepada semua wakil rakyat dan saya sangat setuju.

“Namun kenyataannya, pembangkang masih tidak menerima sepenuhnya seperti dijanjikan misalnya skim dhuafat. Kalau nak betul adil, beri penuh dululah kepada pembangkang,” katanya ketika sesi perbahasan belanjawan pada sidang berkenaan.

Iklan

Mohd Syahbuddin turut mempersoalkan peranan penyelia DUN dan pelantikan tok penghulu yang didakwa bertindih dengan fungsi wakil rakyat sebenar.

Mohd Syahbuddin yang berbahas pada sesi perbahasan belanjawan Sidang DUN Kelantan. - Foto SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

Iklan

Beliau mendakwa, sebahagian peruntukan kerajaan negeri disalurkan melalui penyelia DUN, bukan melalui ADUN seperti sepatutnya.

“Peruntukan kepada penyelia DUN itu sepatutnya hak wakil rakyat yang dilantik oleh rakyat,” ujarnya.

Penyataan tersebut mencetuskan reaksi daripada ADUN Tendong, Rozi Muhamad yang mencelah untuk membetulkan fakta dan mempertahankan dasar kerajaan negeri.

Rozi berkata, kerajaan negeri tetap berusaha menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang, walaupun pada masa sama wakil kerajaan negeri tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan pusat.

“Kerajaan negeri tetap mempertimbangkan untuk berlaku adil.

“Wakil rakyat pembangkang juga menerima peruntukan sama RM250,000, tetapi kami di pihak kerajaan negeri langsung tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat,” dakwanya.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Mohd Syahbuddin membalas, jumlah peruntukan yang diterima pembangkang jauh lebih kecil berbanding wakil kerajaan negeri itu, selain bagi isu peruntukan daripada Persekutuan memerlukan 'peranan' Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Wakil rakyat kerajaan boleh hampir RM1 juta, pembangkang cuma RM250,000. Adil ikut mana itu, Yang Berhormat Tendong?

“Sekarang ini soal di negeri dan isu peruntukan Persekutuan, Menteri Besar ada hubungan baik dengan Perdana Menteri, mintalah dengan beliau,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri perlu menunaikan tanggungjawab dalam bidang kuasa sendiri sebelum mempersoalkan agihan di peringkat Persekutuan.

“Buat dalam kuasa kita dulu, yang kita boleh buat, kita laksanakan dulu,” katanya.

Kamaruzaman (kiri) yang turut bangun untuk mencelah. - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

ADUN Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad pula bangun mencelah bagi mempertahankan hujah.

“Pusat beri dulu belaka, lepas itu kami pula selaras bagi belaka juga,” katanya.

Mohd Syahbuddin bagaimanapun enggan memberi laluan, menyebabkan suasana dewan menjadi riuh seketika.

Speaker DUN, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi kemudian menenangkan keadaan dan mengarahkan wakil kerajaan supaya duduk serta tidak mengganggu giliran ADUN Galas terbabit.

Perbahasan kemudian kembali terkawal dan diteruskan.