Air pasang besar: Laluan utama dinaiki air, tinggalkan kesan lumpur

Iklan
Orang ramai meredah air pasang besar di laluan utama Pekan Kukup.

PONTIAN - Fenomena air pasang besar yang melanda Kukup sejak empat hari lalu bukan sahaja menyebabkan laluan utama ke terminal feri dilimpahi air laut, malah turut meninggalkan lumpur selepas surut.

Peniaga makanan ringan, Zulkifli Mohd Hafan, 47, berkata, kejadian air pasang besar bermula pada Khamis lalu dan surut sejam kemudian.

Iklan
Iklan

“Jumaat lepas, air naik sampai paras buku lali (kira-kira 0.1 meter) tapi mujurlah tak masuk kedai sebab ada tembok di pintu kedai.

Zulkifli menunjukkan paras air pasang besar di kedainya pada Jumaat lalu.

Iklan

"Cuma lepas surut, lumpur tinggal dan kami terpaksa cuci semula guna sabun. Kedai tidak ditutup ketika air pasang tetapi barang jualan dialihkan ke tempat yang lebih tinggi," katanya yang sudah dua tahun berniaga di kawasan itu.

Katanya, fenomena air pasang besar menarik perhatian ramai pelancong, termasuk dari Singapura yang kelihatan teruja melihat keadaan tersebut.

Iklan

“Ramai pelancong tanya sama ada fenomena ini kerap berlaku. Biasanya memang setiap hujung tahun air akan besar dan bulan Disember nanti dijangka lebih tinggi.

"Nelayan di kawasan Kukup akan beritahu bila air pasang besar akan berlaku dan minta peniaga kemas barang untuk elak kerugian," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Tinjauan di Pekan Kukup mendapati, laluan utama mula dinaiki air kira-kira jam 12 tengah hari menyebabkan pelancong dan penduduk perlu meredah air pasang.

Dalam pada itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bersama Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Kerajaan Johor menyediakan jadual bacaan air pasang bagi penduduk dan pengunjung di Pekan Kukup.

Sementara itu, nelayan, Rashid Atan, 47, berkata, fenomena itu sudah menjadi kebiasaan kepada penduduk di Kampung Melayu Kukup dan Kampung Kukup, terutama ketika penghujung tahun.

Bagaimanapun, penduduk yang rata-ratanya nelayan tetap bimbang sekiranya hujan lebat turun ketika fenomena air pasang besar berlaku yang akan menyebabkan banjir kilat.

"Fenomena air pasang besar bermula pada bulan Oktober dan berakhir pada Disember akan berlaku di Kukup.

"Kebanyakan penduduk dan nelayan sudah tahu masa air naik dan akan menyesuaikan rutin mereka bagi memastikan keselamatan bot serta hasil tangkapan," katanya.