Sidang DUN: MB Kelantan kesal jenayah bunuh sepupu, tetak anak saudara

Iklan
Sidang DUN Kelantan yang berlangsung di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan rasa kesal terhadap jenayah yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga termasuk kes bunuh sepupu dan tetak anak saudara baru-baru ini yang disifatkannya sebagai tindakan tak terbayang oleh fikiran.

Beliau berkata, kejadian sedemikian menjadi tanda hilangnya pedoman agama dalam masyarakat yang membawa kepada keadaan porak-peranda sesebuah institusi keluarga.

Iklan
Iklan

“Tak terbayang dalam fikiran kita, sepupu boleh bunuh sepupu, sedangkan sepupu itu seperti adik-beradik, datuk yang sama.

Mohd Nassuruddin - FOTO SINAR HARIAN (ADILA SHARINNI WAHID)

Iklan

“Bapa saudara boleh tetak anak saudara, sedangkan anak saudara itu anak kita juga tapi inilah yang berlaku,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohamad Nasriff Daud (Pas-Pengkalan Pasir) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Susulan itu, Mohd Nassuruddin menegaskan, pentingnya memperkukuh benteng moral rakyat dengan saling menyampaikan ajaran Islam dan menghayati al-Quran selain saranan satu keluarga, satu hafiz Quran.

Iklan

“Kita berhasrat supaya dalam setiap keluarga di Kelantan ada sekurang-kurangnya seorang yang menghafal al-Quran.

“Kalau anak-anak sudah besar, tanamkan semangat itu kepada cucu-cucu pula, perlu ada seorang dalam keluarga yang menjadi hafiz,” katanya.

Katanya, merujuk soalan usaha memperkasa pembagunan minda rakyat berlandaskan Islam, Kerajaan Kelantan, antaranya fokus melahirkan ramai penghafal al-Quran.

“Sehingga tahun lepas, Kelantan berjaya melahirkan 5,370 hafiz dan hafizah, manakala 3,572 pelajar tahfiz sedang mengikuti pengajian sepenuh masa di sekolah tahfiz di bawah Yayasan Islam Kelantan.

“Jumlah itu lebih ramai membabitkan institusi swasta yang turut berkembang pesat di seluruh negeri ini,” ujarnya.