KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini merekodkan perintah persetujuan melibatkan pempengaruh media sosial, Caprice untuk segera menurunkan dan menarik balik sembilan kenyataan berunsur fitnah yang diterbitkan dalam akaun Instagramnya terhadap jurulatih gim, Syed Mohammad Murad Syed Naseem atau lebih dikenali sebagai Murad Zaidi.
Perintah itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh semalam selepas Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli sebagai defendan bersetuju untuk patuh dan berjanji tidak menerbitkan semula, mengedar semula atau menyebarkan mana-mana kenyataan tersebut dalam sebarang bentuk.
Sembilan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap Murad Zaidi, 38, dimuat naik di Instagram defendan antara Julai dan Ogos 2025.
Menurut draf perintah persetujuan, pempengaruh berusia 39 tahun itu juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau representasi yang serupa terhadap Murad Zaidi.
Berikutan itu, Murad Zaidi menarik balik permohonan injunksi interimnya terhadap defendan tanpa perintah mengenai kos.
Perkara itu disahkan oleh peguam Murad Zaidi, Datuk M Reza Hassan dan peguam defendan Megat Syazlee Mokhtar.
"Saman fitnah utama terhadap pempengaruh itu akan diteruskan dan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 17 November,” kata M Reza.
Murad Zaidi sebagai plaintif memfailkan saman fitnah pada 4 Ogos lepas, mendakwa defendan telah memuat naik hantaran palsu dan berniat jahat yang menggambarkan dia terlibat dalam aktiviti jenayah dan jenayah terancang.
Akibat hantaran yang dimuat naik itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya telah tercemar dan menyatakan bahawa defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.
Sehubungan itu, Murad Zaidi memohon injunksi untuk menghalang defendan, pekerja, wakil atau ejennya daripada menerbitkan, mengedar atau mengulangi sebarang hantaran berunsur fitnah terhadapnya di media sosial.
Dia juga meminta permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk video yang akan dimuat naik pada semua platform media sosial defendan selain ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaannya, menegaskan bahawa kenyataan itu dibuat tanpa niat jahat. - Bernama