SEBERANG JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan peningkatan kos projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang berpunca daripada keputusan untuk meluaskan jajaran projek tersebut merentasi laut hingga ke Seberang Perai.
Menurutnya, jajaran LRT yang dibentangkan oleh kerajaan negeri pada awalnya hanya melibatkan kawasan pulau sahaja.
Bagaimanapun katanya, jajaran projek tersebut dipeluaskan kerana beliau tidak mahu ia terhad kepada satu kawasan sahaja tanpa melibatkan bahagian tanah besar di Seberang Perai.
"Semasa projek ini dibentangkan kepada saya oleh kerajaan negeri, ia hanya merangkumi di bahagian pulau.
"Sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, saya tidak mahu projek ini tersekat di situ (pulau). Jadi, saya yang mencadangkan supaya projek LRT ini menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Seberang Jaya, pada Sabtu.
Anwar berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pembangunan negeri berjalan secara seimbang dan tidak menimbulkan persepsi bahawa hanya satu kawasan mendapat manfaat daripada projek berkenaan.
"Kalau hanya di bahagian pulau, nanti orang kata jaga pulau sahaja, kepentingan kaum Cina sahaja, tidak jaga Seberang Perai yang majoritinya Melayu.
"Ini polemik yang tidak menguntungkan,"tegasnya.
Mengulas dakwaan pembangkang yang mempersoalkan kenaikan kos projek itu, Anwar menegaskan bahawa ahli politik sepatutnya mengikuti perkembangan semasa sebelum membuat kenyataan tidak berasas di lapangan.
"Jangan pergi ke kampung dan kata kos itu tidak menentu. Bila kita beri penjelasan, mereka tidak mahu dengar.
"Sebab itu saya tegaskan, peningkatan kos berlaku kerana peluasan jajaran ke Seberang Perai," katanya lagi.
Anwar turut menegaskan bahawa projek LRT berkenaan amat penting untuk masa depan pengangkutan awam di Pulau Pinang kerana ia merupakan antara negeri yang menunjukkan prestasi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi membanggakan.
"Kalau ada orang Permatang Pauh kata tidak mahu LRT, beritahu saya. LRT ini penting untuk masa depan negeri dan rakyat," tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata projek LRT Mutiara bukanlah satu keperluan penting buat masa ini.
Beliau telah dua kali membangkitkan isu itu dengan alasan bahawa terdapat keutamaan lain yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu.