JENAMA badminton tanah air, Felet mengukuhkan portfolio antarabangsa apabila menandatangani pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Tan Wee Kiong dan pasangannya, Nur Mohd Azriyn Ayub sebagai atlet terbaharu di bawah naungan mereka.
Gandingan ranking ke-25 dunia itu menyertai barisan pemain elit antarabangsa yang sudah bersama Felet, termasuk rakan sepasukan Wee kiong ketika meraih pingat perak Olimpik, Goh V Shem selain Ng Ka Long Angus (Hong Kong), Busanan Ongbamrungphan (Thailand), Choi Sol Gyu (Korea), Christian Adinata (Indonesia) serta beberapa nama beregu lelaki dari Indonesia dan Taiwan.
Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Felet sebagai jenama Malaysia yang semakin agresif membina tapak di pentas profesional global.
Dalam pada itu, Wee Kiong sedar kemasukannya ke dalam keluarga Felet mencetuskan spekulasi mengenai potensi penyatuan semula gandingan klasiknya bersama V Shem.
Namun, Wee Kiong menegaskan fokus beliau kini bersama Azriyn.
“Tiada perancangan ke arah itu. Kerjasama saya dengan Azriyn berjalan lancar. Terima kasih kepada FELET atas keyakinan dan sokongan.
“Kami akan terus berusaha untuk keputusan lebih baik dalam kejohanan akan datang,” katanya.
Wee Kiong turut menyentuh nilai sentimental di sebalik pemilihan Felet yang berasal dari Muar, daerah yang dekat dengan kehidupannya sejak kecil.
Azriyn pula menekankan faktor profesionalisme Felet dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta ketelitian dalam pembinaan peralatan sebagai sebab utama keputusan beliau menyertai jenama berkenaan.
Kemasukan dua ikon beregu tanah air di bawah satu jenama tempatan sekali lagi mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong, lebih-lebih lagi ketika Felet kini memacu naratif bahawa produk Malaysia sebaris dalam ekosistem pemain profesional dunia.