Empangan Teluk Bahang capai 82.4 peratus, sedia hadapi musim kering

Iklan
Paras air di Empangan Teluk Bahang meningkat kepada 82.4 peratus berikutan hujan berterusan sejak September lalu.

GEORGE TOWN – Paras air di Empangan Teluk Bahang meningkat kepada 82.4 peratus berikutan hujan berterusan sejak September lalu, sekali gus melepasi tahap selamat bagi menghadapi musim kering yang dijangka bermula Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan PBA Holdings Bhd, Datuk K Pathmanathan berkata, jumlah hujan yang direkodkan di kawasan tadahan empangan itu dari 1 September hingga 7 November ialah 989 milimeter.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kapasiti efektif meningkat ketara berbanding 61.7 peratus pada awal tahun ini.

“Dengan lebih banyak hujan diramalkan pada November, kapasiti empangan dijangka terus meningkat. Namun, Disember dijangka sedikit kering.

Iklan

“Setakat ini, Empangan Teluk Bahang berada dalam keadaan baik untuk menampung keperluan air kira-kira 37,000 pengguna di kawasan Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Mount Erskine,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau menambah, pada 10 April lalu, paras air empangan pernah susut ke 45.6 peratus selepas 100 hari cuaca panas dan kering, namun kembali meningkat apabila tiba musim hujan hujung tahun.

Iklan

“Sejak dirasmikan pada 1999, simpanan air di empangan itu lazimnya menyusut antara Januari hingga April sebelum kembali meningkat antara September hingga Disember ketika musim lembap.

“Bagaimanapun, pola taburan hujan kini tidak menentu disebabkan perubahan iklim, menyebabkan kapasiti empangan di bahagian pulau termasuk Empangan Air Itam menunjukkan turun naik ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pathmanathan berkata, laporan status semasa PBAPP pada 7 November menunjukkan semua empangan utama Pulau Pinang berada pada tahap memuaskan.

“Empangan Air Itam kini mencapai 98.1 peratus, kedudukan terbaik dalam tempoh empat tahun, manakala Empangan Mengkuang Diperbesarkan kekal stabil dengan 90.8 peratus dan berfungsi sebagai empangan simpanan strategik yang hanya digunakan semasa kecemasan apabila PBAPP tidak dapat mengabstrak air mencukupi dari Sungai Muda.

“Selain itu, paras Sungai Muda direkodkan antara 2.2 hingga 2.5 meter di Muka Sauk Lahar Tiang, Seberang Perai Utara, iaitu dalam paras selamat bagi pengabstrakan air secara optimum,” katanya lagi.

Beliau menambah, PBAPP akan terus mengoptimumkan pengambilan air mentah dari Sungai Muda sambil memastikan semua empangan berada pada tahap terbaik menjelang musim kering akan datang.