KUALA LUMPUR - Seramai 12 ahli berdaftar dilantik menerajui Majlis Media Malaysia (MMM) setelah dipilih sebulat suara menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Jumaat.
Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim berkata, beliau selaku salah seorang wakil daripada kategori syarikat media bertekad memastikan pihaknya memainkan peranan lebih gigih dalam memantapkan lagi industri media di negara ini.
Menurutnya, terdapat keperluan mustahak untuk memperkukuhkan industri secara menyeluruh berpandukan tatalaku dalam MMM itu sendiri.
Beliau turut memberi jaminan akan berlaku lebih banyak perubahan dan penambahbaikan dalam mesyuarat akan datang selepas mengambil kira cadangan daripada pengamal media, organisasi, orang awam serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan rakan media dan pemain industri untuk menjayakan AGM yang pertama. Barisan ahli tertinggi MMM juga sudah dilantik.
“Hala tuju majlis ini jelas sejak awal iaitu nak perkukuh industri media dan kebebasan media. Diharapkan supaya kita semua dapat memberi sokongan penuh buat MMM dan bekerjasama memperkukuhkan industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MMM bertempat di iSpace 21 Plaza VADS.
MMM membariskan tiga kategori utama iaitu Syarikat Media (A) merangkumi pertubuhan diikuti Pengamal Media dan Pengamal Media Bebas (B) manakala Orang Awam termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam kategori (C).
Masing-masing empat wakil manakala dua lagi representasi Menteri dan seorang Pengerusi Majlis.
Tiga lagi wakil Syarikat Media ialah Premesh Chandran; Datuk Kuik Cheng Kang dan Datin Paduka Esther Ng Sek Yee.
Bagi kategori kedua ialah Mohamad Fauzi Ishak, Mariah Airens Doksil, Mohd Ishak Abdillah Ngah dan Adie Suri Zulkeflli.
Untuk kategori ketiga pula, Zahrom Nain, Terence Ooi Guan Tseng, Cynthia Lorraine Silva dan Mediha Mahmood.
Sebaik diberi mandat, 12 individu terlibat boleh melantik enam lagi ahli menerusi mesyuarat bagi memastikan perwakilan daripada agensi media memiliki diversiti dari segi jantina, kawasan, bahasa dan lain-lain.
Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi memperuntukkan RM4 juta kepada MMM bagi melaksanakan program dan hal ehwal berkaitan media untuk 2026.
Empat usul dibentangkan antara lain menyentuh tentang ketetapan kadar yuran keahlian dan prosedur perjalanan mesyuarat, perbelanjaan daripada Kumpulan Wang MMM, dasar dan prosedur operasi standard (SOP) serta Kod Tatalaku Ahli Majlis dan mekanisme ketidakpuasan hati.
Proses mengundi wakil MMM dipantau oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi memastikan ketelusan dapat dicapai sepanjang proses pengundian berlangsung.