SHAH ALAM - Program Tunas Niaga (PROTUNe) terus membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah setiap daerah di negeri Selangor terutamanya ddi kawasan luar bandar.
Ia bertujuan untuk membina untuk membina kemahiran berniaga dan memupuk semangat keusahawanan sejak di bangku sekolah.
Pengurus Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Yuzawati Yusof berkata, setiap pelajar yang terlibat diberi peluang untuk memiliki saham, melantik pengurusan syarikat seperti ketua pegawai eksekutif, pengurus kewangan dan bahagian pemasaran selain menyiapkan produk untuk dijual.
Menurutnya, dalam masa sama pelajar juga diajar menyediakan penyata kewangan, aliran tunai dan laporan prestasi syarikat sekali gus memberi mereka pengalaman sebenar dalam pengurusan perniagaan.
"Pada tahun ini, sebanyak 20 sekolah berjaya mengumpul RM2.87 juta dalam tempoh tujuh bulan.
"Kejayaan ini bukan sekadar angka, tetapi bukti bahawa pelajar mampu menerapkan ilmu yang dipelajari dalam modul PROTUNe ke dalam situasi sebenar.
"Menariknya, selain daripada keuntungan perniagaan, pelajar juga perlu menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus kepada sekolah masing-masing. Ia menekankan nilai tanggungjawab sosial dalam setiap aktiviti keusahawanan mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvensyen PROTUNe 2025 di Ibu Pejabat PKNS, di sini pada Selasa.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usaha Sama Strategik), Md Kamarzan Md Rais.
Antara anugerah yang dipertandingkan adalah e-PROTUNe, Perkhidmatan Terbaik, Harapan, Produk Kreatif Terbaik, Produk Inovasi Terbaik, Laporan Kewangan Terbaik, Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Persembahan Terbaik, Syarikat Terbaik dan Sekolah Terbaik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun 2025, PROTUNe mencatat kejayaan dengan penyertaan seramai 1,221 pelajar dari 47 sekolah menengah di Selangor.
Program ini dijalankan secara fizikal dan dalam talian untuk memberi fleksibiliti pembelajaran serta peluang kepada pelajar tingkatan 1 hingga 5.
Siti Mereyan bantu pelajar luar bandar
Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Siti Mereyan Che Ngah yang menerima Anugerah Guru Pembimbing Terbaik turut berkongsi pengalaman membimbing pelajar di sekolahnya.
Katanya, peluang mengajar di SMK Munshi Abdullah yang berada di kawasan luar bandar mendorong beliau untuk memastikan anak-anak mendapat peluang setara dengan sekolah di bandar.
“Mengajar di sekolah pedalaman membuatkan saya tertanya-tanya, mengapa anak-anak di sini jarang mendapat peluang untuk berada di atas pentas. Saya perlu melakukan sesuatu.
“Jadi misi saya adalah memastikan anak-anak ini, walaupun sekolah kecil dan jauh dari bandar dapat berdiri sebaris dengan anak-anak di bandar. Alhamdulillah hari ini pelajar saya mendapat pengiktirafan selepas mengharungi pelbagai cabaran,” ujarnya.
Bagi penerima anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik 2025, Nur Alya Jazila Kamarul Adli, 16, kejayaan itu memberi inspirasi kepadanya untuk terus berusaha.
"Pada awalnya saya tidak yakin untuk menggalas tangungjawab itu kerana tiada pengalaman dan pertama kali menyertai PROTUNe, tetapi bimbingan daripada cikgu dan kerjasama daripada kawan-kawan membuatkan saya tidak putus asa.
"Antara cabaran yang saya hadapi apabila meneraju syarikat adalah kekurangan ahli ketika waktu bertugas dan sukar mencari ganti. Keuntungan syarikat pula naik turun, jadi kami perlu memastikan kewangan syarikat stabil," jelasnya.
Nur Alya Jazila memberitahu, antara produk yang ditawarkan adalah perkhidmatan melipat baju dan mengambil tempahan lukisan.
"Alhamdulillah, dalam tempoh tujuh bulan, kami berjaya memperolehi lebih RM30,000 hasil daripada perniagaan itu," ujarnya.
SMK Rantau Panjang hasilkan produk inovatif dan kreatif
Selain itu, SMK Rantau Panjang mencatat kejayaan cemerlang apabila menerima Anugerah Sekolah Terbaik hasil dedikasi pelajar dan guru pembimbing, Azrina Sazali.
Azrina yang menjadi guru pembimbing di sekolah berkenaan selama empat tahun mengakui kejayaan ini sesuatu yang tidak dijangka.
Menurutnya, matlamat mereka mahu menghasilkan produk inovatif dan kreatif dengan harapan sekurang-kurangnya satu produk dapat meraih tempat dalam pertandingan.
"Tapi tidak sangka dapat anugerah sekolah terbaik. Kami sangat gembira, semua idea diperoleh bersama, setiap bulan kami akan mengadakan mesyuarat untuk berkongsi pendapat.
"Sepanjang tempoh program, kami meraih keuntungan sebanyak RM61,000 melalui tiga produk utama. Sebanyak 94 peratus diperoleh daripada jualan kios di sekolah.
"Selebihnya, pendapatan daripada perniagaan lain seperti hasil kreatif pelajar yang diperbuat daripada kawat bulu dan benang kait," ulasnya.