SERDANG - Enam lelaki warga India ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang lelaki pemastautin ditemui mati disyaki dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di kawasan Pusat Bandar Puchong di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua individu yang ditahan itu merupakan rakan serumah suspek utama.
"Suspek utama yang juga seorang lelaki warga India sudah dikenal pasti. Kita juga telah melaksanakan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, terdapat rakaman yang boleh membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya telah merakam keterangan empat saksi termasuk pengadu bagi membantu siasatan.
"Mangsa bekerja sendiri sebagai juruelektrik dan telah menetap kira-kira 19 tahun di Malaysia," ujarnya.
Pada Khamis, media melaporkan seorang lelaki pemastautin tetap berusia 49 tahun ditemui mati disyaki dibunuh di lokasi berkenaan.
Muhamad dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada seorang lelaki kira-kira jam 7.03 malam.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di tangga premis berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222,” katanya.