SPRM teliti pelaksanaan DPA, elak perbicaraan mahkamah yang panjang

Iklan
Azam berucap di Persidangan Antarabangsa Ke-15 IFCTF 2025 di MITEC Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertangguh atau Deferred Prosecution Agreement (DPA) sebagai langkah menjimatkan sumber daripada melalui perbicaraan mahkamah yang panjang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, DPA telah dilaksanakan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Iklan
Iklan

“Melalui mekanisme ini, syarikat yang terlibat dalam kesalahan rasuah boleh memulangkan aset haram dan melaksanakan reformasi bagi menangani rasuah dalam organisasi mereka sebagai pertukaran untuk pertimbangan kehakiman selain dapat menjimatkan masa serta sumber daripada melalui perbicaraan mahkamah yang panjang.

"Kerajaan kini juga sedang meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi menyediakan perlindungan lebih kukuh kepada individu yang tampil melaporkan rasuah dan salah laku," katanya dalam ucapan di Persidangan Antarabangsa Ke-15 Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Iklan

Tambahnya, perkongsian maklumat, kerjasama risikan dan inovasi teknologi perlu menjadi norma dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

Menurut Azam, SPRM juga sedang giat memperkukuhkan penggunaan teknologi canggih termasuk Kecerdasan Buatan (AI), data raya dan forensik digital bagi mengesan serta membanteras jenayah kewangan dan rasuah yang semakin kompleks.

Iklan

Jelasnya, kemajuan teknologi telah mengubah landskap tadbir urus dan jenayah, membolehkan penjenayah bergerak lebih pantas, lebih pintar serta sering melangkaui sempadan.

“SPRM telah mengguna pakai kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) yang menggabungkan pengalaman penyiasatan tradisional dengan analitik data dan sistem bantuan AI bagi menjejak aliran kewangan tidak teratur serta memetakan rangkaian jenayah dengan lebih berkesan.

“Operasi kami kini mengintegrasikan AI untuk tujuan pembuktian, analisis dokumen dan penilaian kes, sekali gus membolehkan pegawai melengkapkan siasatan kes kompleks dalam tempoh lebih singkat,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Azam menerima kunjungan hormat Setiausaha Eksekutif Egmont Group (EG), Jérôme Beaumont di Bilik Mesyuarat MITEC bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama strategik dalam membekalkan bukti jenayah kewangan dan rasuah.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.