Rasional dalam dunia membenci akal

Iklan
Dengan ART, Malaysia sebenarnya memeterai kerjasama yang menjamin kestabilan akses pasaran ke AS - pasaran eksport terbesar negara bernilai RM198 bilion tahun lalu.

DI ZAMAN pasca-normal ini, ketika dunia bergerak dalam kekacauan yang semakin sukar dibaca, kata-kata ‘lebih mudah menjual kebencian daripada menjelaskan kebenaran’ terasa seperti cermin yang memantulkan wajah kita sendiri.

Dalam masyarakat yang ditelan oleh emosi, rasional sering dianggap dosa dan sesiapa yang berfikir dengan tenang akan segera dituduh sebagai pengkhianat.

Iklan
Iklan

Begitulah nasib setiap keputusan strategik yang cuba dibuat dengan kepala dingin, pasti akan disalah tafsir oleh mereka yang gemar menilai dari sudut emosi, bukan rasional. Termasuklah keputusan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS).

Sebaik saja perkataan ‘perjanjian’ disebut, ramai melatah, kononnya Malaysia sudah tunduk, sudah dijerat, sudah ‘jual negara’.

Iklan

Padahal, kalau benar mereka faham, perkataan reciprocal itu sendiri bermaksud timbal balik, bukan perhambaan. Ia bukan perjanjian mutlak yang memaksa kita mengikat tangan sendiri, sebaliknya kerangka longgar yang memberi ruang rundingan, keluar bila perlu, dan bertindak bila untung.

Sebaik sahaja dakwat perjanjian itu kering, muncul suara-suara yang menuduh Perdana Menteri ‘menjual negara’. Ironinya yang paling lantang menjerit tentang kedaulatan inilah selalunya yang membaca tajuk, bukan kandungan; menafsir bunyi, bukan makna.

Iklan

Mereka tidak memahami, jauh sekali menghayati maksud sebenar di sebalik setiap klausa yang termeterai.

Berdasarkan penjelasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tidak ada satu pun artikel dalam ART yang memaksa Malaysia tunduk kepada sekatan AS atau mengubah undang-undang domestik.

Malah, setiap tindakan berkaitan dengan keselamatan atau ekonomi mesti melalui proses perundingan bersama terlebih dahulu.

Dengan ART, Malaysia sebenarnya memeterai kerjasama yang menjamin kestabilan akses pasaran ke AS - pasaran eksport terbesar negara bernilai RM198 bilion tahun lalu.

Pengecualian tarif bagi 1,711 barisan eksport utama termasuk minyak sawit, getah, komponen penerbangan dan farmaseutikal, adalah hasil diplomasi berprinsip bukan tanda tunduk tetapi tanda Malaysia tahu menilai kepentingannya sendiri.

Menolak rundingan atas nama ‘maruah’ bukanlah keberanian tetapi kebodohan yang dibungkus dengan ego.

Malaysia yang baru sahaja mengakhiri tugas sebagai Pengerusi ASEAN telah melaksanakan satu tanggungjawab besar dalam dunia yang berhadapan dengan realiti baharu.

Dalam keadaan perang kuasa besar, perebutan teknologi dan ketidaktentuan geopolitik, Malaysia memilih jalan diplomasi matang; tidak memihak tetapi tidak membisu, tidak tunduk tetapi tidak angkuh.

Inilah yang disebut sebagai diplomasi berprinsip. Malaysia berpegang pada gagasan bahawa ASEAN mesti kekal sebagai centrality of unity, pusat kestabilan dan kebijaksanaan yang tidak menjadi boneka kepada kuasa luar.

Perjanjian ART memperlihatkan bagaimana Malaysia menyesuaikan diplomasi ekonomi dengan kehendak zaman baharu di mana kekuatan bukan lagi pada saiz tentera tetapi pada kebijaksanaan strategi.

Dalam sektor kritikal seperti mineral nadir bumi (REE), Malaysia kekal melarang eksport bahan mentah sebaliknya membuka ruang kepada pelaburan berteknologi tinggi untuk memproses dan menambah nilai dalam negara.

Kerjasama strategik dengan AS bukan bermaksud tunduk tetapi mempercepat pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan tempatan, satu bentuk kedaulatan ekonomi yang bijaksana.

Begitu juga dalam hal halal, data digital dan GLC, setiap keputusan masih berpaksikan undang-undang Malaysia. Tiada kuasa luar yang boleh mencampuri dasar halal Jakim, undang-undang Personal Data Protection 2010 atau peranan strategik syarikat berkaitan kerajaan.

Malaysia memilih rasional kerana tahu bahawa emosi tidak memberi makan kepada rakyat. Diplomasi bukan pengkhianatan, ia adalah seni mempertahankan kepentingan dalam dunia yang saling bergantung.

ART bukan simbol tunduk tetapi tanda Malaysia berani berunding dengan kepala tegak. Ia memperlihatkan bahawa negara ini tidak takut untuk duduk di meja kuasa besar kerana kita tahu siapa diri kita dan apa yang kita pertahankan.

Kita hidup dalam dunia yang membenci akal tetapi Malaysia masih memilih untuk berfikir. Dalam gelombang populisme yang menenggelamkan fakta, kita masih percaya bahawa kebenaran tidak boleh digantikan oleh jerit kemarahan.

Kedaulatan bukanlah menolak dunia, tetapi menjaga diri dalam dunia yang tidak pernah berhenti berubah. Dan dalam perjalanan itu, akal yang waras adalah pertahanan terakhir sebuah bangsa yang masih mahu berdiri dengan maruah.

* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)