Siasatan kes kematian pempengaruh Taiwan dijalankan ikut prosedur ketat - Saifuddin

Iklan
Saifuddin dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Khamis.

PUTRAJAYA - Siasatan polis terhadap kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, Hsieh Yun Hsi, 31, yang ditemui mati dalam bilik sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu, dijalankan mengikut prosedur ketat.

Susulan siasatan itu, polis kemudiannya menahan penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, yang didapati turut berada bersama mangsa semasa mayatnya ditemui di hotel berkenaan.

Iklan
Iklan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, adalah penting bagi polis mengklasifikasikan sesuatu kes terlebih dahulu sebelum menentukan arah siasatan.

“Langkah ini dibuat berdasarkan bukti dan maklumat yang dikumpul. Ia merupakan kaedah siasatan serta pembukaan kertas siasatan yang betul.

Iklan

“Matlamat utama ialah mencari kebenaran dan memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan polis mengklasifikasikan semula kes itu daripada Kematian Mengejut (SDR) kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

Namewee telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam dilaporkan berkata, suspek direman sehingga 10 November selepas proses reman dijalankan di IPD Dang Wangi.

Dalam satu hantaran di Facebook, Namewee telah tampil di IPD Dang Wangi.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan polis mengklasifikasikan semula kes kematian Hsieh sebagai kes bunuh selepas pada awalnya dikategorikan sebagai SDR.

Siasatan awal mendapati Namewee merupakan individu terakhir dilihat bersamanya.

Suspek kemudiannya ditahan atas kesalahan berkaitan dadah, namun dibebaskan selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Jalan Duta, pada 24 Oktober.

Fadil berkata, siasatan kes itu dijalankan dari semua sudut, termasuk individu yang terakhir bersama mangsa.