KULAI – Cubaan beberapa pekerja kedai makan warga asing melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas gagal apabila mereka diberkas dalam serbuan di sebuah deretan rumah kedai di Senai pada Ahad.
Serbuan menerusi Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor bermula pada jam 1.05 pagi dengan penglibatan seramai 27 pegawai Bahagian Penguatkuasaan, menyaksikan seramai 45 warga asing ditahan.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan dipercayai bekerja secara haram di kedai-kedai makan sekitar kawasan berkenaan.
“Operasi ini dilaksanakan hasil risikan serta aduan awam berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Serbuan mengejut dilakukan ketika kesemua warga asing berkenaan sedang berehat di premis yang dijadikan sebagai tempat tinggal. Terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas, namun kesemua mereka berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki warga Myanmar, empat lelaki Bangladesh, tiga lelaki Pakistan, masing-masing seorang lelaki warga India dan Nepal serta 11 wanita warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah selain ada yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.
Kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan lanjut.