KUALA TERENGGANU - Kutipan zakat di Terengganu menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila meningkat 5 peratus pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, berdasarkan prestasi itu pihaknya menyasarkan jumlah keseluruhan kutipan zakat mencecah RM300 juta menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari hingga 5 November lalu, jumlah kutipan zakat yang berjaya dikumpul ialah RM205.85 juta berbanding RM275 juta bagi keseluruhan tahun lalu.
"Kita yakin dengan momentum semasa, sasaran peningkatan sebanyak 5 peratus untuk mencapai kutipan RM300 juta tahun ini mampu diperoleh dalam tempoh dua bulan terakhir ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kali Kedua 2025 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, majlis berkenaan diadakan bagi memberi penghargaan kepada 34 syarikat yang menunaikan zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan RM5.86 juta, selain menyampaikan Anugerah Potongan Zakat Berjadual (PZB) Tertinggi kepada empat agensi terpilih.
Dalam perkembangan sama, Shaikh Harun berkata, MAIDAM telah merekodkan jumlah agihan zakat sebanyak RM262.52 juta setakat ini iaitu lebih tinggi berbanding jumlah kutipan semasa RM205.85 juta.
Menurutnya, ia sekali gus menunjukkan komitmen penuh institusi itu dalam menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang layak.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM187.18 juta (71.31 peratus) diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin, melibatkan RM22.85 juta untuk asnaf fakir dan RM164.33 juta bagi asnaf miskin.
"Angka-angka ini bukan sekadar nombor, tetapi cerminan amanah, keprihatinan umat Islam dan keberkatan rezeki yang terus mengalir melalui institusi zakat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, kutipan zakat perniagaan kini menyumbang kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat di Terengganu.
Menurutnya, sebanyak 1,300 syarikat telah membayar zakat pada 2024 berbanding 863 syarikat pada tahun 2020 yang mana ia menunjukkan peningkatan ketara hasil peningkatan kesedaran dalam kalangan pemain industri.
"Kita berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menunaikan zakat melalui saluran rasmi MAIDAM agar dana ini dapat diagihkan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan.
"MAIDAM juga mensasarkan kutipan zakat perniagaan meningkat kepada 30 peratus menjelang tahun 2027, seiring pelaksanaan pelbagai program agihan berimpak tinggi," ujarnya.