IPOH – Kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penjualan lebihan air terawat daripada Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS) ke Pulau Pinang.
Majlis yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru itu disempurnakan antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bersama Gamuda Berhad JV (PKNPk-Gamuda JV) sebagai pihak pembekal manakala Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) sebagai pihak pembeli.
Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama barisan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negeri.
Saarani menerusi satu kenyataan berkata, pemeteraian MoU itu sebagai detik bersejarah selepas lebih sedekad isu bekalan air antara dua negeri berkenaan gagal mencapai kata sepakat.
"Hanya tiga tahun kebelakangan ini kedua-dua negeri dapat mencapai momentum dan kesinambungan yang memanfaatkan Perak dan Pulau Pinang. Hari ini, kita berjaya mencapai penyelesaian melalui kata sepakat dalam persefahaman ini.
"Projek NPWSS dijangka siap menjelang tahun 2030 dan menjadi penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan air kedua-dua negeri," katanya.
Beliau berkata, projek tersebut dilaksanakan bagi menjamin bekalan air untuk kawasan pertanian di Utara Perak dan menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), selain menangani unjuran defisit bekalan air di Pulau Pinang seperti dilaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada tahun 2022.
"Perjanjian tersebut akan membuka peluang hasil baharu kepada Perak, sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 dalam pengurusan sumber air secara mampan.
"Skim berkenaan akan memberi manfaat berterusan kepada rakyat kedua-dua negeri untuk tempoh 40 tahun akan datang dan selari dengan strategi pelaburan awam baharu seperti yang digariskan dalam Belanjawan Malaysia 2026," ujarnya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, MoU tersebut merupakan langkah penting bagi memastikan keselamatan dan kestabilan bekalan air Pulau Pinang untuk jangka panjang.
"Pulau Pinang komited untuk menyelesaikan isu bekalan air jangka panjang dan kami berbesar hati dapat meraih persefahaman bersejarah bersama Perak, sekali gus menjadi satu kejayaan penting demi jaminan keselamatan bekalan air negeri.
"Perjanjian ini memastikan sumber bekalan air terawat yang stabil untuk jangka panjang pada kadar yang berpatutan. Kini, Pulau Pinang mempunyai kepelbagaian sumber bekalan air dan tidak lagi terlalu bergantung kepada Sungai Muda,” katanya.
Menurutnya, walaupun Pulau Pinang telah merangka Water Contingency Plan 2030, NPWSS akan menjadi pelengkap penting bagi menjamin keperluan bekalan air menjelang tahun 2031.
Projek NPWSS merupakan inisiatif strategik memindahkan 1,500 juta liter sehari air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi menampung keperluan pengairan domestik dan perindustrian termasuk pembangunan KIGIP.
MoU tersebut menandakan persetujuan terhadap terma utama penjualan air melibatkan aspek harga, jumlah bekalan dan tempoh pembekalan bagi asas Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) yang dijangka dimeterai dalam tempoh enam bulan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Projek NPWSS turut dijangka memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, selain memperkukuh kerjasama antara dua negeri berjiran itu dalam pengurusan sumber air negara secara mampan.