JAINJ cekup tiga pasangan termasuk janda berkhalwat di kondominium mewah

Iklan
Tangkap layar mengenai serbuan JAINJ di sekitar Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bertindak menahan tiga pasangan termasuk janda dalam tiga serbuan berbeza di sebuah kondominium mewah di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam satu kenyataan di laman facebook Penguatkuasa JAINJ 2025, serbuan dibuat hasil aduan awam serta masyarakat dan serbuan dilaksanakan antara jam 12 tengah malam Selasa hingga 3 pagi Rabu.

Iklan
Iklan

"Kes pertama membabitkan pasangan lelaki bujang berusia 30-an dan wanita berstatus janda berusia 49-an ditahan di sebuah kondominium mewah yang juga merupakan rumah sewa wanita terbabit di persiaran Danga Bay di sini.

"Difahamkan, lelaki berkenaan kerap berkunjung ke rumah sewa berkenaan dan kebiasaannya akan terus bermalam kerana tempat ini dianggap selamat daripada pemeriksaan penguat kuasa," menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, JAINJ turut memaklumkan dua lagi pasangan turut ditahan di sebuah kondominium di Larkin.

Tambah kenyataan itu, kedua-dua pasangan ditahan penguatkuasa JAINJ di dalam bilik bersama pasangan masing-masing dan difahamkan, mereka menyewa rumah secara berpasangan, selain tinggal seperti suami isteri tanpa nikah.

Iklan

"Pasangan pertama berstatus bujang, masing-masing berusia 20-an dan bekerja di Johor Bahru. Satu lagi pasangan juga berstatus bujang berusia 20-an dan berulang alik bekerja di Singapura.

"Tangkapan ini membuktikan, penguat kuasa JAINJ tetap melakukan serbuan walaupun melibatkan kondominium mewah. Janganlah anggap kediaman berkenaan sebagai tempat selamat untuk melakukan maksiat," menurut kenyataan tersebut.

Kesemua pasangan ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.