Monsun Timur Laut: 53 lokasi banjir dan enam hotspot tanah runtuh dikenal pasti

Iklan
Mooi Lye (kiri) bersama Mohamad Shoki (dua dari kiri melihat aset yang dimiliki JBPM Pulau Pinang.

BATU KAWAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang merekodkan sebanyak 57 kes berkaitan bencana alam sejak awal Oktober hingga kini, susulan permulaan musim Monsun Timur Laut 2025.

Pengarah JBPM negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes melibatkan banjir, lima kes tanah runtuh, manakala 41 kes lagi melibatkan pokok tumbang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, angka itu dijangka meningkat kira-kira 18 peratus berbanding Monsun Timur Laut tahun lalu, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memperkukuh kesiapsiagaan menyeluruh dalam menghadapi cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

"Sebanyak 53 lokasi hotspot banjir dan enam lokasi hotspot tanah runtuh dikenal pasti di seluruh negeri dengan tumpuan pemantauan di kawasan Seberang Perai Tengah, Barat Daya dan Timur Laut.

Iklan

"Walaupun berdepan realiti baharu dengan cuaca yang sukar dijangka saya yakin JBPM Pulau Pinang bersedia sepenuhnya," katanya pada Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Musim Monsun Timur Laut 2025 peringkat JBPM Pulau Pinang pada Khamis.

Hadir menyempurnakan majlis, Exco Kerajaan Tempatan Dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye.

Iklan

Mooi Lye (tengah) bergambar bersama pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Musim Monsun Timur Laut 2025, diadakan peringkat JBPM Pulau Pinang, pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad Shoki berkata, JBPM Pulau Pinang mempunyai 1,699 pegawai dan anggota, termasuk pegawai bomba bantuan serta sukarela yang boleh digerakkan bila-bila masa.

Tambah beliau, pihaknya juga mempunyai kekuatan taktikal meliputi 39 anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA), 96 anggota unit EMRS, 55 anggota HAZMAT, 27 anggota STORM, selain 36 unit Water Tender dan 33 unit bot aluminium yang kini dalam mod siaga penuh.

"Semua aset ini telah diperiksa secara menyeluruh kerana kita tahu setiap minit kelewatan boleh menjadi penentu antara kehilangan dan penyelamatan nyawa," ujarnya.

Ketika ditanya isu banjir yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini, Mohamad Shoki menjelaskan, ia  berpunca daripada hujan lebat berserta kenaikan paras air laut, menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung aliran air keluar ke laut.

Selain itu katanya, beberapa kawasan menerima kesan limpahan dari Sungai Kulim, yang mana hujan di kawasan Kulim menyebabkan air melimpah masuk ke sebahagian kawasan Seberang Perai Utara, sekali gus mencetuskan banjir kilat di beberapa lokasi.

"Walaupun banjir kilat berlaku, air cepat surut dan keadaan masih terkawal.

"Alhamdulillah, walaupun tiga negeri dilanda banjir pada waktu itu, Pulau Pinang tidak seteruk kawasan Kemunting dan Kedah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tanah runtuh, beliau berkata, tiada lokasi baharu dikenal pasti, namun pihaknya mengekalkan senarai hotspot sedia ada dan terus melakukan pemantauan berterusan sepanjang musim hujan.

"Minggu ketiga Oktober lalu, kita terima dua laporan kejadian tanah runtuh masing-masing di Balik Pulau dan Paya Terubong dalam daerah Barat Daya.

"Kawasan Paya Terubong ini memang diberi perhatian serius kerana pernah mencatat tragedi pada 2018 yang melibatkan kehilangan nyawa," katanya.