JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki yang didapati bertindak menghalang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sedang menjalankan tugas di Terminal Bas Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 11.13 pagi pada Selasa lalu setelah polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu keselamatan.
“Lelaki tersebut memaklumkan kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara anggota Rela yang sedang bertugas dengan suspek.
"Pengadu yang cuba meleraikan pergaduhan itu telah ditepis di bahu kiri oleh suspek, namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Raub, bertindak atas maklumat, polis telah berjaya menahan suspek berusia 31 tahun pada Rabu.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki satu rekod lampau walaupun ujian saringan urin didapati negatif dadah.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada Khamis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.