SHAH ALAM - Kemerosotan habitat sungai akibat aktiviti manusia, pencemaran dan kehadiran spesies invasif seperti baung ekor merah adalah antara punca spesies ikan patin muncung kini hampir pupus.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, berdasarkan penemuan penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPPGL), patin muncung kini amat sukar ditemui di habitat asalnya terutamanya di Sungai Pahang.
Menurutnya, kajian menunjukkan penurunan populasi yang ketara dan hanya beberapa rekod penemuan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.
“Keadaan ini memberi gambaran bahawa spesies ini berada pada tahap kritikal dan berisiko tinggi untuk pupus di habitat semula jadi sekiranya tiada intervensi pemuliharaan dijalankan dengan segera.
“Faktor spesies patin muncung pupus ialah kemerosotan habitat sungai akibat aktiviti manusia seperti pam pasir, pencemaran dan perubahan struktur dasar sungai selain kehilangan sumber makanan utama (molusk) disebabkan gangguan ekologi dan penurunan mikrofauna yang menjadi asas kepada rantaian makanan.
“Faktor lain ialah kehadiran spesies invasif seperti baung ekor merah yang bersaing untuk sumber makanan serta memangsa ikan asli.
“Pertumbuhan semula jadi yang perlahan dan populasi yang kecil menjadikan proses pemulihan populasi semula jadi sangat lambat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, setakat ini usaha ternakan atau domestikasi patin muncung masih sangat terhad.
Jelasnya, hal ini kerana spesies terbabit sukar ditangkap untuk dijadikan induk dan mempunyai diet semula jadi yang sangat khusus iaitu hanya memakan molusk seperti etak, siput dan qastropod.
“Keadaan ini menyukarkan penyesuaian terhadap makanan formulasi dalam sistem akuakultur.
“Maka, kajian pembiakan dan penyesuaian pemakanan masih perlu dipertingkatkan bagi membolehkan usaha ternakan berjaya dijalankan di masa hadapan,” ujarnya.
Mengulas mengenai adakah patin muncung wajar disenarai dalam spesies dilindungi, kata Adnan, melihat kepada status hidupan itu yang semakin terancam dan kesukaran dikesan di habitat liar, patin muncung wajar disenaraikan sebagai spesies dilindungi di bawah perundangan perikanan atau hidupan akuatik negara.
Kata beliau, langkah ini penting bagi mengawal pengambilan, penjualan atau pemilikan spesies ini secara tidak terkawal.
“Ia membolehkan perancangan program konservasi dan pemuliharaan dijalankan dengan strategi yang tersusun serta menjadikannya sebagai penanda aras ekosistem sihat bagi Sungai Pahang dan sistem sungai lain di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Katanya lagi, DOF IPPGL melaksanakan penyelidikan lanjutan dan pemetaan populasi menggunakan teknologi terkini seperti DNA persekitaran (eDNA) untuk menjejaki kehadiran spesies tanpa perlu menangkapnya.
“Langkah lain yang dilakukan ialah pemantauan habitat Sungai Pahang bagi mengenal pasti zon kritikal dan kawasan pembiakan semula jadi serta cadangan pengisytiharan patin muncung sebagai spesies dilindungi di bawah peraturan sedia ada,” ujarnya.