Pilihan Raya Datuk Bandar DBKL langkah naif, salah arah - Pembangkang

Iklan
Takiyuddin

KUALA LUMPUR - Pembangkang membidas cadangan kerajaan untuk mengkaji pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, dengan mendakwa langkah itu berisiko mencipta harapan palsu kepada rakyat serta membuka ruang konflik perlembagaan dan kekeliruan institusi dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha membingkaikan pilihan raya tersebut sebagai instrumen utama bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan DBKL adalah pendekatan terlalu simplistik, naif serta salah arah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kecekapan pentadbiran sesebuah bandar raya tidak bergantung semata-mata kepada kaedah pemilihan kepimpinan, sama ada melalui lantikan atau pilihan raya, sebaliknya ditentukan oleh kekuatan institusi, sistem governans serta budaya pengurusan yang berfungsi dengan berkesan.

“Jika objektif cadangan itu benar-benar bertujuan meningkatkan pencapaian DBKL, maka pendekatan yang lebih realistik dan praktis ialah dengan memfokuskan kajian kepada isu-isu langsung pentadbiran dan governansnya,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.

Iklan

Tegas beliau, cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar turut menimbulkan isu perundangan dan perlembagaan serius yang perlu ditangani terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan lanjut boleh dimulakan.

Menurut Takiyuddin, Kuala Lumpur merupakan sebuah Wilayah Persekutuan yang diwujudkan di bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan dan pentadbirannya diletakkan di bawah tanggungjawab langsung kerajaan pusat.

Iklan

Beliau berkata, DBKL pula ditadbir terutamanya mengikut Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan undang-undang subsidiari yang berkaitan dengan kuasa, fungsi dan akauntibiliti yang jelas ditetapkan dalam kerangka pentadbiran Persekutuan.

“Tidak seperti pihak berkuasa tempatan yang ditadbir bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kuala Lumpur tidak tertakluk bawah bidang kuasa negeri, sementara struktur pentadbirannya juga tidak sama,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang langkah ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar menuntut kajian semula komprehensif ke atas undang-undang sedia ada, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

Menurutnya, perkara itu termasuk pertimbangan teliti mengenai bagaimana peranan Datuk Bandar boleh wujud bersama-sama bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif Persekutuan lain.

Beliau berkata, tanpa pindaan undang-undang dan perlembagaan yang jelas berkait skop kuasa eksekutif, bidang kuasa belanjawan, lini akauntibiliti dan mekanisme penyuraian konflik, pengenalan Pilihan Raya Datuk Bandar berisiko mencetuskan kekeliruan institusi, pertindihan bidang kuasa serta potensi konflik dan cabaran undang-undang.

“Datuk Bandar yang memiliki keabsahan demokratik tanpa kuasa undang-undang yang ditetapkan secara jelas akan hanya melemahkan, bukan memperkuat kepimpinan dan governans yang berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, Takiyuddin menegaskan tidak ada jaminan bahawa Pilihan Raya Datuk Bandar akan secara automatik membawa kepada penyampaian perkhidmatan atau governans yang lebih baik.

“Malah sistem sedemikian boleh membawa masalah tambahan lain, termasuk pempolitikan pentadbiran bandar raya, populisme elektoral, konflik Datuk Bandar yang dipilih dengan kerajaan Persekutuan serta ketidakstabilan dasar yang dipacu oleh kitaran pilihan raya, bukan dasar perancangan bandar jangka panjang,” katanya.

Menurut beliau, tanpa menangani isu-isu teras tersebut terlebih dahulu, cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan harapan palsu dalam kalangan orang awam serta menimbulkan masalah governans baharu yang akan semakin melemahkan DBKL akibat salah fokus dan keutamaan.

Sehubungan itu, PN menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan supaya menyemak semula fokus kajian yang dicadangkan dengan mengutamakan reformasi institusi, pentadbiran dan undang-undang yang lebih realistik dan komprehensif.

Takiyuddin berkata, pendekatan itu lebih berupaya memperkukuh kecekapan, profesionalisme dan akauntabiliti DBKL berbanding mengheret rakyat ke arah eksperimentasi politik serta idea yang disifatkannya sebagai berbahaya dan tidak berpijak di alam nyata.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh pada Selasa memaklumkan kajian kebolehlaksanaan bagi melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah dijalankan sejak pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Katanya, kajian berkenaan bermula pada Disember lalu dan rang undang-undang persendirian berkaitan perkara itu juga telah dikemukakan oleh seorang Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen yang lalu.