Dua pelancong AS maut diserang tebuan gergasi di Laos

Iklan
Gambar hiasan. - Agensi

LUANG PRABANG – Dua pelancong warga Amerika Syarikat (AS) maut selepas diserang ratusan tebuan gergasi ketika aktiviti sukan lasak di sebuah taman eko di utara Laos.

Mangsa, Daniel Owen, 47, dan anak lelakinya, Cooper, 15, dilaporkan diserang ketika sedang melakukan aktiviti zipline di Green Jungle Park, berhampiran bandar pelancongan terkenal Luang Prabang pada 15 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurut laporan media antarabangsa, kedua-duanya disengat lebih 100 kali oleh tebuan gergasi Asia spesies invasif beracun yang juga dikenali sebagai murder hornet.

Mereka diserang semasa melakukan aktiviti zilpline. - Gambar hiasan

Iklan

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian. Nasib pemandu pelancong yang mengiringi mereka masih belum diketahui.

Jurucakap Jabatan Negara AS mengesahkan kematian dua rakyat negara itu di Luang Prabang, namun enggan mengulas lanjut bagi menghormati privasi keluarga mangsa.

Iklan

Daniel Owen difahamkan berkhidmat sebagai pengarah di Quality Schools International, Hai Phong, Vietnam dan sedang bercuti bersama anaknya di Laos.

Pihak pengurusan Green Jungle Park dalam kenyataan memaklumkan, mereka amat berdukacita atas insiden tersebut dan telah menyemak semula semua prosedur keselamatan di taman berkenaan.

Menurut Persatuan Entomologi Amerika, tebuan gergasi Asia boleh membesar sehingga 6.3 sentimeter dan racunnya boleh menyebabkan nekrosis atau kematian tisu pada kawasan sengatan.

Jika disengat berulang kali, racun boleh menjejaskan organ penting sehingga membawa maut.

Laos kini menjadi antara destinasi pelancongan popular di Asia Tenggara, terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan aktiviti lasak, namun tragedi sedemikian memberi peringatan terhadap risiko tersembunyi di kawasan hutan tropika. - Agensi