KUALA NERUS - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan sebanyak RM16.5 juta bagi pelaksanaan Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin (KAHA) 2025, yang akan disalurkan kepada lebih 25,000 asnaf fakir miskin di seluruh negeri sepanjang tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata agihan fasa pertama KAHA 2025 berjumlah RM13.44 juta disalurkan kepada 25,162 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menerima bantuan MAIDAM antara 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini.
Menurutnya, agihan fasa kedua pula melibatkan kira-kira 5,000 KIR yang menerima bantuan antara 1 September hingga 31 Disember depan, dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM3 juta.
“Bantuan ini disalurkan kepada penerima yang menerima empat jenis bantuan iaitu bantuan bulanan, sara hidup, sewa rumah dan perubatan am.
“Pelaksanaan program ini bukan sekadar untuk meringankan beban hidup asnaf, tetapi juga bagi mengeratkan hubungan antara MAIDAM, pembayar zakat dan masyarakat.
“Ia turut membuktikan komitmen MAIDAM bagi memperkukuh zakat, pembangunan ummah dan memperluas khidmat kebajikan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas konvoi KAHA MAIDAM 2025 di Masjid Tebauk di sini pada Rabu.
Shaikh Harun berkata, buat julung kalinya majlis induk program itu diadakan di peringkat daerah, dengan Pejabat MAIDAM Daerah Kuala Nerus dipilih sebagai tuan rumah utama.
Menurutnya, program KAHA yang memasuki edisi keempat memberi tumpuan kepada usaha menyalurkan bantuan zakat kepada golongan asnaf fakir dan miskin melalui pendekatan ziarah dan santuni oleh pengurusan MAIDAM bersama para pembayar zakat.
Setiap isi rumah menerima kadar bantuan mengikut kategori, iaitu RM300 bagi individu bujang, RM500 bagi isi rumah dua hingga tiga orang, dan RM700 bagi isi rumah empat orang ke atas termasuk ketua keluarga.
“Agihan fasa pertama akan berlangsung dari 9 November 2025 hingga 31 Januari 2026, manakala fasa kedua bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2026, tertakluk kepada perubahan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan, berkata pelaksanaan KAHA 2025 bertujuan menyatukan pelbagai pihak dalam usaha menyantuni golongan fakir miskin di negeri ini.
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja menghimpunkan pembayar zakat bersama penerima bantuan, malah turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi pemberi bantuan termasuk Jabatan Pembangunan Negeri Terengganu (JPN), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Cawangan Negeri Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa agensi lain.
“Melalui program ini, kita dapat mengukuhkan hubungan antara MAIDAM, pembayar zakat dan penerima, sekali gus memastikan agihan zakat disampaikan dengan lebih berkesan kepada golongan yang layak,” katanya.
Dr Ahmad Azrin berkata, bagi edisi 2025, MAIDAM memperkenalkan mekanisme baharu agihan bukan tunai dengan kerjasama platform digital Me12Pay, yang menggantikan bantuan tunai yang digunakan sebelum ini.
Jelasnya, pendekatan baharu itu dibuat berdasarkan hasil kajian yang menunjukkan majoriti isi rumah miskin menumpukan perbelanjaan kepada keperluan asas.
“Pendekatan ini dibuat selepas meneliti hasil kajian yang mendapati sebahagian besar isi rumah miskin menumpukan perbelanjaan kepada keperluan asas seperti makanan, utiliti, rawatan kesihatan dan pakaian.
“Justeru, MAIDAM memperkenalkan sistem baharu ini bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar digunakan untuk tujuan tersebut.
“Dengan hanya membawa kad pengenalan, penerima boleh menggunakan bantuan itu untuk pembelian barangan keperluan asas seperti barangan dapur, pakaian, ubat-ubatan, bayaran bil utiliti dan tambah nilai prabayar di kedai panel yang dilantik,” katanya.
Antara premis panel yang terlibat ialah Pasaraya Sakan, Sabasun, Farmasi Gpharmax dan Klinik Hijraa, selain beberapa farmasi serta kedai runcit lain di seluruh negeri.
“Program ini menjadi simbol komitmen MAIDAM dalam memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
“Tahun lalu, kadar agihan zakat berbanding kutipan mencapai 115 peratus, sekali gus membuktikan keberkesanan sistem agihan yang diamalkan di Terengganu,” ujarnya.