Agensi kerajaan tuntut penjelasan, 800 staf dan ahli keluarga keracunan makanan di taman tema

Iklan
Sebahagian besar peserta mula menunjukkan simptom seperti muntah, cirit-birit, sakit perut dan dehidrasi dalam tempoh sejam selepas menjamu selera. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Lebih 800 kakitangan dan ahli keluarga sebuah agensi kerajaan dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas menghadiri program hari keluarga di sebuah taman tema terkenal pada 4 Oktober lalu.

Insiden berkenaan bagaimanapun mengundang tanda tanya apabila Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor sehingga kini didakwa masih belum mendedahkan hasil siasatan penuh, meskipun insiden telah berlaku lebih sebulan.

Iklan
Iklan

Memetik laporan portal Scoop, difahamkan hanya dapur taman tema itu diarahkan tutup selama dua minggu bermula 7 hingga 21 Oktober untuk kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun, taman tema tersebut kekal dibuka kepada orang awam.

Iklan

Perkembangan tersebut mengundang kritikan apabila timbul kebimbangan punca sebenar kejadian mungkin melibatkan bukan sahaja makanan yang disediakan, tetapi juga air di kolam dan permainan air di taman tema berkenaan.

Menurut sumber, sebahagian besar peserta mula menunjukkan simptom seperti muntah, cirit-birit, sakit perut dan dehidrasi dalam tempoh sejam selepas menjamu selera pada acara tersebut.

Iklan

Antara yang terjejas termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu berkeperluan khas.

Beberapa mangsa turut mendapatkan rawatan di hospital akibat dehidrasi dan cirit-birit teruk.

Sumber turut memaklumkan, sampel makanan yang disediakan secara katering dalaman telah diambil untuk ujian, manakala pengendali makanan dipanggil memberi keterangan.

Namun dakwanya, tiada sampel air diambil bagi memastikan sama ada kolam atau permainan air terlibat dalam pencemaran.

Sehubungan itu, agensi kerajaan terbabit kini sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap pengurusan dan pemilik taman tema tersebut.

Lebih mengejutkan, sumber tersebut turut mendakwa tiada sebarang usaha proaktif daripada pihak taman tema untuk menghubungi mangsa, menawarkan pampasan atau bantuan perubatan.