MELAKA - Pasangan suami isteri direman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas disyaki mendera anak angkat lelakinya berusia sembilan tahun.
Suspek masing-masing berusia 27 dan 24 tahun itu didakwa mencederakan mangsa menggunakan pemetik api dan air panas kerana menghilangkan pensil warna di sekolah dalam kejadian bulan lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani bermula Rabu sehingga 10 November ini.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak.
Jika disabitkan salah, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Difahamkan kejadian terbongkar selepas bapa saudara mangsa datang ke rumah suspek di Batu Berendam pada malam 30 Oktober lalu dan ternampak kesan melecur pada jari tangan kanan, selain kesan parut lama pada kaki mangsa.
Pengadu yang tidak berpuas hati dengan tindakan adik dan adik iparnya itu bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November lalu.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek pada Selasa.