NILAI - Kes jenayah melibatkan pelajar sekolah di Negeri Sembilan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan telah mengambil langkah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri bagi menanganinya.
“Kita melihat ada berlaku sedikit peningkatan iaitu kes jenayah melibatkan pelajar sekolah yang bukan sahaja berlaku dalam kawasan sekolah, tetapi juga di luar sekolah.
“Antaranya membabitkan jenayah buli, gangguan seksual, keganasan dan pukul serta amang seksual. Jika mengikut peratusan, kenaikan hanya pada kadar 0.2 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan serta menjadi panel pada Program Townhall Discussion – Pendidik Ejen Pencegahan Jenayah Buli Kontinjen Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Khamis.
Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar; dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Muhammad Idzam Jaafar.
Selain itu, ujar beliau, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan akan melakukan pemeriksaan secara mengejut di beberapa sekolah berasrama terpilih.
“Ia akan dilaksanakan dengan kadar segera dan sekolah-sekolah itu telah dikenal pasti.
“Sebenarnya, ini adalah permintaan pihak sekolah itu sendiri dan tumpuan utama kita ialah memberi kesedaran kepada pelajar serta menerapkan nilai-nilai murni, sahsiah diri termasuklah soal akidah,” katanya.
Pada masa sama, ujarnya, polis juga akan meningkatkan lawatan ke sekolah-sekolah, manakala Ketua Polis Daerah telah diarahkan meneliti serta membuat risikan berkenaan setiap laporan kes yang diterima.
Mengulas mengenai tindakan segelintir institusi yang cuba menyembunyikan kes jenayah demi menjaga reputasi, Alzafny menegaskan perkara sebegitu tidak berlaku di Negeri Sembilan.
Malah, katanya, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi mengelakkan salah faham pada masa akan datang.
“Saya rasa sekarang tiada lagi konsep sekolah cuba melindungi kejadian jenayah kerana mahu menjaga reputasi dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Di Negeri Sembilan, tiada perkara seperti itu.
“Jadi, semua pihak perlu telus dan dalam siasatan pun, kita memang melaksanakannya secara menyeluruh untuk memastikan tidak berlaku sebarang salah faham pada masa akan datang,” katanya.