WASHINGTON – Penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mencatat sejarah baharu pada Rabu, selepas memasuki hari ke-36, mengatasi rekod 35 hari semasa pentadbiran Donald Trump pada 2019.
Kegagalan Kongres meluluskan pembiayaan selepas 30 September menyebabkan operasi agensi kerajaan lumpuh, manakala berjuta-juta rakyat terjejas apabila bantuan kebajikan termasuk subsidi makanan tergantung tanpa kepastian.
Lebih 1.4 juta pekerja kerajaan daripada pengawal trafik udara hingga renjer taman kini dipaksa bercuti tanpa gaji atau bekerja tanpa bayaran, sementara sektor pengangkutan memberi amaran akan berlakunya kekacauan besar di lapangan terbang sekiranya krisis berlarutan.
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy memberi amaran bahawa kekurangan kakitangan boleh menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan besar-besaran, serta kemungkinan penutupan ruang udara tertentu.
Penutupan berpanjangan ini turut mengancam rancangan perjalanan sempena cuti Thanksgiving, dengan 5.8 juta rakyat dijangka terbang domestik hujung bulan ini. Lebih 60,000 pengawal trafik udara dan pegawai keselamatan TSA kini bekerja tanpa gaji, meningkatkan risiko gangguan di lapangan terbang utama.
Pertikaian utama antara Demokrat dan Republikan kekal tidak berkesudahan — Demokrat hanya bersetuju menamatkan penutupan selepas subsidi insurans kesihatan diperluas, manakala Republikan mahu perbelanjaan kesihatan dibincangkan kemudian.
Presiden Donald Trump pula bertegas tidak akan tunduk, malah mengancam pemotongan bantuan makanan untuk 42 juta rakyat AS, walaupun keputusan mahkamah menghalang tindakan itu.
Penutupan kerajaan ini kini menjadi simbol kebuntuan politik Washington, dengan rakyat biasa menanggung kesannya sementara dua parti terbesar terus bertegang tanpa kompromi.