JPJ Selangor raih kutipan tertinggi hasil lelongan awam kenderaan sita

Iklan
Azrin menunjukkan antara kenderaan yang dilelong dalam program yang diadakan pada Rabu.

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan kutipan hasil tertinggi sebanyak RM277,030 menerusi Sesi Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 3/2025 yang diadakan di Ibu Pejabat JPJ Selangor di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, lelongan siri ketiga bagi tahun ini melibatkan 200 buah kenderaan pelbagai jenis yang disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

“Daripada jumlah itu, 175 buah merupakan motosikal, diikuti lapan motokar serta kenderaan pelbagai guna, tujuh van, sembilan lori rigid dan sebuah penggerak utama.

“Kenderaan yang dilelong telah melalui proses pelucutan hak mengikut prosedur ditetapkan, termasuk pemakluman kepada pemilik, pengesahan pengarah negeri serta perintah mahkamah sebelum dijual kepada orang awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Selangor, Padang Jawa di sini pada Rabu.

Iklan

Antara orang ramai yang menyertai siri lelongan awam yang diadakan pada Rabu.

Beliau berkata, jumlah kutipan kali ini mengatasi dua siri terdahulu apabila Siri 1/2025 mencatat RM181,100, manakala Siri 2/2025 berjumlah RM132,040.

Iklan

“Siri ketiga menunjukkan peningkatan ketara dari segi sambutan dan hasil, menandakan keyakinan masyarakat terhadap sistem lelongan awam JPJ yang telus.

“Pelaksanaan lelongan awam bukan sekadar memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kenderaan pada harga berpatutan, malah membantu jabatan menjana hasil serta mengurus aset sitaan secara berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemilik kenderaan yang telah disita supaya hadir ke pejabat JPJ berkaitan bagi membuat tuntutan dan penyelesaian sebelum kenderaan mereka dilelong.

“Jika tiada tuntutan dibuat dalam tempoh ditetapkan, kenderaan berkenaan akan melalui proses pelucutan hak dan dilelong kepada orang awam.

“Pengguna jalan raya diingatkan agar memastikan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta insurans kenderaan masing-masing sentiasa aktif bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya lagi, JPJ Selangor turut menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan trafik secara terus melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my