Tak mahu kejadian 2014 berulang, penduduk siap awal hadapi banjir

Iklan
Mohd Husin mengalihkan barangan ke tempat tinggi.

TUMPAT - Penduduk Pulau Teluk Renjuna, yang terletak kira-kira dua kilometer dari tanah besar, mula menambah stok makanan dan melakukan persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) pada bila-bila masa dari sekarang.

Warga emas, Esah Ibrahim, 83, berkata, pengalaman banjir besar pada tahun 2014 masih segar di ingatan apabila rumahnya dinaiki air sehingga paras 0.6 meter, memaksanya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kok Keli.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, bagi banjir tahunan biasa, air tidak masuk ke dalam rumah sebaliknya memenuhi perkarangan setinggi kira-kira 0.7 meter serta menenggelamkan laluan keluar masuk ke rumah.

“Sekarang ini saya dah siap-siap simpan beras, gula dan ikan kering.

Iklan

“Kalau banjir kami tak boleh keluar sebab terkepung, jadi makanlah apa-apa yang ada,” katanya selepas menerima bantuan makanan asas dan wang tunai pada Program Jelajah Sentuhan Kasih Menjelang Musim Tengkujuh 2025 di Masjid al-Ahmadiah di sini pada Rabu.

**media[3331000 ]**

Iklan

Program berkenaan dianjurkan oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan.

Sementara itu, pemilik kedai runcit, Mohd Husin Mohamad, 53, berkata, beliau juga memastikan bekalan makanan asas di kedainya diletakkan di tempat lebih tinggi bagi mengelak daripada terjejas akibat banjir serta memastikan penduduk tidak putus bekalan.

Menurutnya, kedai runcit itu dipilih sebagai pusat jualan bagi Program Penyeragaman Harga (PPH), yang membolehkan bekalan mencukupi dan ditambah setiap dua minggu sekali.

“Dalam kedai, barangan elektrik seperti peti sejuk dah dilapik batu bata dan diangkat setinggi paras pinggang, ikut pengalaman banjir tahun 2014.

“Stok dari tanah besar dibawa menaiki bot dan digandakan bagi menampung keperluan lebih 500 penduduk di sekitar tiga hingga empat pulau berdekatan termasuk Pulau Beluru, Pulau Seratus dan Pantai Haji Nik Mat,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Tua Masjid al-Ahmadiah, Mohd Amin Zulkahar Sha’ri berkata, pihaknya turut mengambil langkah berjaga-jaga di masjid sebagai pusat komuniti utama.

“Kami dah alihkan semua kitab al-Quran dan buku ke rak tinggi.

“Kemudahan masjid termasuk pengusung jenazah juga diperiksa supaya boleh digunakan bila-bila masa, termasuk semasa banjir,” katanya.