IPOH - Rentetan peristiwa hitam yang berlaku dalam alam persekolahan sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai cerminan kegagalan sistem pendidikan dalam membentuk nilai kemanusiaan.
Kebimbangan itu dizahirkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah apabila insiden tragis melibatkan pelajar bawah umur yang terlibat dalam perbuatan jenayah seperti buli, rogol, pembunuhan dan salah laku moral menunjukkan berlakunya krisis kemanusiaan.
Baginda bertitah, sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kini terdedah kepada pelbagai suasana yang mengancam keselamatan.
“Krisis kemanusiaan sedang berlaku di tempat yang paling selamat buat anak-anak. Krisis yang berlaku hari ini tidak adil dipolemikkan dan dipolitikkan untuk mempersalahkan kepimpinan semasa.
“Secara jujur, secara ikhlas kita hendaklah berani mengakui bahawa sel-sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal. Bermula dengan sel kecil, berhimpun secara kumulatif untuk sekian lamanya, mungkin disebabkan kealpaan kita mencegah di peringkat awal secara berkesan, bersungguh,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian menyempurnakan Majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
Sultan Nazrin bertitah, gejala tersebut berpunca daripada kealpaan berpanjangan dalam menanam nilai kemanusiaan di peringkat awal pendidikan, selain terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata.
“Sifat penafian yang berterusan dan tidak berani mengakui kesilapan, ditambah dengan ego tidak senang menerima teguran, enggan berubah, di samping sifat kompromi dan kurang berani bertindak tegas melakukan pembetulan merupakan penyebab yang telah menyuburkan sel barah boleh terus merebak.
“Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbentuk kuantitatif pada harga mengorbankan komponen kualitatif,” titah baginda.
Jelas baginda, pendidikan tidak sekadar untuk memenuhi agenda melahirkan manusia yang paling pandai tetapi melahirkan individu yang paling insani.
Baginda bertitah, sejak mencapai kemerdekaan, negara dan kerajaan amat mengutamakan program pendidikan dengan memberikan peruntukan perbelanjaan yang besar termasuklah Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan dan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Tetapi semua itu akan tinggal sebagai angka dan erti sebenar pendidikan tidak tercapai kalau jiwa anak-anak masih kosong dari segi nilai apabila fokus pendidikan kini gagal melahirkan manusia beradab, berfikir serta punya arah hidup yang betul,” titah baginda.
Baginda bertitah, sekolah dan universiti bukan sekadar tempat memindahkan ilmu tetapi turut berperanan sebagai institusi pembentuk akhlak.