IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan selepas 21 tahun Pelan Integriti Nasional diperkenalkan apabila terdapat jurang antara impian membina bangsa berintegriti dengan realiti semasa yang semakin melebar.
Sehubungan itu, baginda menegaskan bahawa usaha membina masyarakat berintegriti perlu bermula dari rumah kerana institusi keluarga merupakan madrasah pertama dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Titah baginda, nilai kejujuran, tanggungjawab dan empati tidak akan dapat disemai hanya melalui dasar atau slogan kerajaan semata-mata, sebaliknya mesti ditanam sejak kecil oleh ibu bapa serta disuburkan melalui sistem pendidikan yang berteraskan akhlak.
“Integriti tidak lahir secara spontan. Integriti tidak terbentuk melalui pelan yang cantik tertulis di atas kertas. Integriti tidak tercapai melalui penubuhan sebuah institusi. Integriti dibentuk melalui pendidikan yang berterusan, disemai di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat dan diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh diteladani.
“Ibu bapa berperanan paling utama menyemai benih integriti dalam jiwa anak-anak kerana rumah ialah madrasah pertama seorang insan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sultan Nazrin turut menyingkap sejarah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 akibat kehilangan integriti disebabkan pengkhianatan dari dalam dan bukan serangan dari luar.
“Sejarah wajar menjadi cermin kepada generasi kini bahawa tanpa integriti, kekuasaan menjadi rapuh; tanpa kejujuran, kemerdekaan boleh terancam.
“Maka, setiap insan yang memegang amanah sama ada di sektor awam, swasta, politik, institusi agama, badan-badan sukarela, kebajikan dan sukan hendaklah menjadikan sejarah sebagai guru,” jelas baginda.
Dalam usaha melahirkan generasi berintegriti, baginda menegaskan bahawa terdapat dua perkara yang perlu diberikan keutamaan, iaitu mengembalikan makna suci pendidikan dan menghayati prinsip pertama Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
Jelas baginda, kisah yang berlaku di Tembok Besar China dan kejatuhan Melaka dijadikan peringatan bahawa membina jati diri manusia lebih utama daripada segala binaan lain.
“Apabila amanah dikhianati dan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara, maka hilanglah benteng. Membina jati diri dalam kalangan anak-anak di sekolah dan pelajar di pusat-pusat pengajian wajib diutamakan.
“Sesungguhnya integriti mengangkat darjat manusia di sisi Tuhan dan sesama insan. Aspek integriti berulang kali diperingatkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran dan turut terkandung dalam sunah Rasulullah SAW. Integriti ditegaskan oleh semua agama, fahaman, budaya dan tamadun,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin lagi, usaha membudayakan integriti bukan sekadar memperkenalkan dasar atau slogan, tetapi menuntut perubahan minda dan sikap yang perlu digerakkan melalui pendidikan, penghayatan, keberanian mengakui kesilapan, keterbukaan menerima teguran dan melalui teladan kepimpinan.