ISKANDAR PUTERI – Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah, hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Indah di sini pada Isnin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor kerana dipercayai bertindak sebagai penjaga stor bagi sindiket berkenaan.
“Serbuan itu dibuat hasil risikan dan maklumat awam. Suspek ditahan di sebuah rumah teres berpagar dan berpengawal yang disewa bagi dijadikan lokasi penyimpanan serta pemprosesan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Hasil pemeriksaan di lokasi menemui pelbagai jenis dadah dianggarkan seberat 115.09 kilogram dengan nilai pasaran keseluruhan RM11.4 juta.
“Selain itu, pelbagai peralatan memproses dadah turut dirampas di premis berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Johor di sini pada Rabu.
Antara jenis dadah yang dirampas melibatkan 17 paket plastik pil ecstasy seberat 25.24 kilogram (kg), 22 paket syabu (23.10 kg), 13 bekas plastik serbuk MDMA (22.43 kg) dan 13 paket plastik ketamin (13.4 kg).
Selain itu, 300 paket plastik pil ecstasy dalam bentuk serbuk (11.51 kg) dan satu paket plastik dan 6,000 papan keranjang timah pil Erimin 5 seberat 19.41 gram.
Pihak polis turut menyita harta dianggarkan bernilai RM75,000 termasuk sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan mencecah RM11.47 juta.
Katanya, saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan lanjut menunjukkan dia mempunyai dua rekod kesalahan dadah, satu rekod jenayah dan satu kesalahan trafik.
"Siasatan awal mendapati sindiket aktif sejak Julai lalu dan dipercayai memperoleh bekalan dadah daripada pelbagai sumber sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan,” ujarnya.