PDRM siasat insiden pegawai kanan VAT 69 maut ketika latihan menyelam

Iklan
Khairil Azhar disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

 

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden pegawai Unit VAT 69 Komando Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, yang meninggal dunia semasa menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan itu bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk penilaian terhadap prosedur latihan, penggunaan peralatan, serta faktor kesihatan dan keselamatan, selaras dengan peraturan dan tatacara operasi standard yang ditetapkan.

"PDRM mengesahkan bahawa seorang pegawai Unit VAT 69 Komando telah meninggal dunia semasa menjalani latihan menyelam.

Iklan

"Pegawai berkenaan telah diberikan bantuan kecemasan dan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Khalid berkata, seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga keluarganya diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

Iklan

Terdahulu, seorang pegawai kanan Unit VAT 69 Komando PDRM dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah pagi Khamis. - Bernama