NEW YORK– Ahli politik muda progresif, Zohran Mamdani mencatat sejarah apabila dipilih sebagai Datuk Bandar New York City yang ke-111, menjadikannya Muslim pertama yang menerajui kota terbesar Amerika Syarikat (AS) itu.
Calon Demokrat berusia 34 tahun itu menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo dan calon Republikan, Curtis Sliwa dalam pilihan raya yang turut dianggap sebagai referendum terhadap hala tuju politik Amerika di bawah pentadbiran Donald Trump.
Pemimpin bandar sedia ada, Eric Adams menarik diri daripada pertandingan pada September lalu selepas kempen pemilihannya semula tergugat oleh pelbagai skandal dan dakwaan rasuah.
Mamdani yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri New York dan hampir tidak dikenali ketika melancarkan kempen pada tahun lalu, berjaya mencuri perhatian ramai menerusi mesejnya yang menumpukan kepada isu kemampuan hidup serta keadilan sosial.
Platformnya menekankan langkah-langkah besar seperti membekukan kadar sewa unit terkawal, membina lebih banyak perumahan mampu milik, menaikkan gaji minimum kepada AS$30 sejam, menjadikan pengangkutan awam percuma dan menaikkan cukai golongan kaya.
Dibiayai sebahagian besarnya melalui derma kecil dan tenaga sukarelawan, kempen Mamdani mendapat momentum besar hasil kehadiran aktif di media sosial serta gaya berkempen santai dengan berjalan kaki menemui penduduk di jalanan.
Kemenangan mengejut dalam pemilihan awal Demokrat pada Jun lalu apabila menewaskan Cuomo dengan kelebihan hampir 13 mata, sekali gus memeranjatkan pemerhati politik dan mengubah landskap politik kota tersebut.
Mamdani menerima sokongan daripada tokoh progresif terkemuka seperti Senator Bernie Sanders dan Wakil Rakyat Alexandria Ocasio-Cortez yang turut berkempen bersamanya di beberapa kawasan utama.
Sokongan turut datang daripada Peguam Negara Negeri New York, Letitia James dan Gabenor Kathy Hochul serta Ketua Minoriti Dewan Perwakilan AS, Hakeem Jeffries menjelang hari pengundian.
Namun, dua Senator AS dari New York, Chuck Schumer dan Kirsten Gillibrand tidak membuat sebarang pengesahan rasmi, mencerminkan perpecahan dalaman dalam Parti Demokrat berhubung hala tuju ideologi baharu tersebut.
Sepanjang kempen, Mamdani berdepan serangan politik dan sentimen Islamofobia, termasuk daripada sekutu rapat Trump, Elise Stefanik yang menuduhnya sebagai 'calon jihad'.
Beliau turut diserang kerana kritikan terhadap kerajaan Israel dan operasi ketenteraan di Gaza, yang mencetuskan ketegangan dengan beberapa kumpulan Yahudi.
Dalam satu debat terakhir pada Oktober, Mamdani menegaskan beliau mahu"mengembalikan semangat rakyat biasa ke dewan kuasa” sambil menolak dakwaan Cuomo bahawa beliau terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk memimpin bandar raya paling kompleks di Amerika.
Kemenangan Mamdani bukan sekadar menandakan perubahan politik tempatan, tetapi juga simbol transformasi identiti Amerika moden.
Sebuah kemenangan besar bagi generasi muda dan minoriti yang selama ini terpinggir dalam struktur kuasa negara itu.
Dalam pilihan raya yang mencatatkan jumlah pengundi tertinggi sejak tahun 1969, Mamdani menewaskan bekas Gabenor New York Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa dengan kemenangan yang mengejutkan ramai pihak. - Agensi