SHAH ALAM – Usaha kerajaan dalam menambah kuota BUDI95 bagi sektor e-hailing diperakui namun ia masih tidak mencukupi bagi pemandu perkhidmatan tersebut yang melakukannya sepenuh masa.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri jelas menunjukkan keprihatinan peribadi beliau terhadap kebajikan pemandu e-hailing, majoritinya anak muda dan B40.
"Antara penambahbaikan yang diumumkan adalah penambahan kuota 300 liter untuk jarak perjalanan 2,000 kilometer (km) hingga 5,000km dan 500 liter bagi jarak perjalanan melebihi 5,000km berbanding bulan sebelumnya.
"Pemandu sepenuh masa memerlukan sekurang-kurangnya 1,200 liter sebulan, khususnya bagi rakan pemandu yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan trafik tinggi dan jarak perjalanan harian lebih jauh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Penghantar menegaskan, kuota asas sebanyak 300 liter pertama adalah hak individu di bawah inisiatif BUDI95 dan tidak wajar diambil kira dalam pengiraan kuota tambahan.
Justeru katanya, persatuan tersebut menggesa supaya syarat perjalanan di bawah BUDI95 dikaji semula kerana pemandu separuh masa dan sepenuh masa mempunyai corak perjalanan berbeza dan ramai pemandu di negeri kecil seperti Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu tidak dapat mencapai jarak minimum 2,000km sebulan.
"Penetapan kuota tambahan maksimum 5,000km wajar diteliti semula kerana majoriti pemandu sepenuh masa menggunakan kuota tambahan 300 liter sekitar jarak 3,000km sahaja bergantung pada jenis kenderaan.
"Kerajaan terutama kementerian dan agensi terlibat sepatutnya membuat libat urus dengan wakil pemandu dan jika perlu, kenaikkan kuota secara berkadar daripada 600 kepada 700 liter tanpa menambah had minimum 5,000km," katanya.
Penghantar juga menekankan kerajaan perlu memberikan maklumat terkini berhubung pelan pelaksanaan, tarikh kuat kuasa, mekanisme agihan kuota BUDI95 serta membangunkan sistem semakan khas bagi pemandu menyemak kelayakan mereka.
"Kegagalan melaksanakan penambahbaikan dengan berkesan dan penyaluran maklumat yang jelas akan menjejaskan imej serta keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menangani isu pemandu e-hailing," tambahnya.