Inovasi tempatan diiktiraf dunia: UniMAP menang emas di iENA 2025

Iklan
Penyelidik dari UniMAP bersama peserta dari negara lain bergambar kenangan di Pameran Inovasi iENA 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 3 November 2025.

KANGAR – Penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila meraih dua pingat emas dan Anugerah Khas National Research Council of Thailand (NRCT) dalam Pameran Inovasi iENA 2025 yang berlangsung di Nuremberg Exhibition Center, Jerman.

Pameran berprestij yang berlangsung dari 1 hingga 3 November itu menghimpunkan penyelidik dan inovator dari seluruh dunia bagi mengetengahkan idea baharu, ciptaan inovatif serta membina jaringan penyelidikan global.

Iklan
Iklan

Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila penyelidik UniMAP berjaya mencuri perhatian juri antarabangsa dengan dua produk berteknologi tinggi.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa penyelidik tempatan mampu bersaing di peringkat dunia dan menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa.

Iklan

“Produk pertama bertajuk ‘A Dual-Purpose GeoPlaster Surface System for Integrated Structural Finishing and Fire Protection’ dihasilkan oleh Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah bersama Prof Madya Dr Rafiza Abd Razak. Ia merupakan plaster pelbagai fungsi yang bertindak sebagai salutan kalis api, anti karat dan pelindung substrat daripada kerosakan persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Mustafa (kiri) dan Mohd Arif Anuar (kanan) yang memperolehi pingat emas dan Anugerah Khas National Research Council of Thailand (NRCT) di Pameran Inovasi iENA 2025 (International Trade Fair, Ideas, Inventions, and New Products) yang berlangsung dari 1 hingga 3 November 2025 di Nuremberg Exhibition Center, Jerman.

Iklan

Menurut beliau, penyelidikan tersebut turut dijalankan di makmal berprestij Rutherford Appleton Laboratory, United Kingdom, dan berjaya meraih pingat emas serta Anugerah Khas NRCT dari Thailand.

Sementara itu, produk kedua bertajuk ‘NS-UR Flux Cored Lead-free Solder Wire: A High Strength Solution for Reliable Electric/Electronic Interconnects’ yang diketuai oleh Prof Madya Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh turut membawa pulang pingat emas.

Zaliman berkata, produk berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara UniMAP dan syarikat Jepun, Nihon Superior, dan kini telah dikomersialkan melalui pengeluaran di kilang syarikat tersebut menggunakan ramuan khas yang dibangunkan oleh penyelidik universiti itu.

“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan universiti, malah mengangkat martabat penyelidikan negara di persada dunia. Ia membuktikan bahawa penyelidik kita mempunyai kreativiti dan keupayaan bertaraf global,” ujarnya.

Pameran iENA 2025 turut disertai oleh negara-negara seperti China, Taiwan, Thailand, Arab Saudi, Poland, Iran, Iraq, Croatia dan beberapa negara Eropah lain yang menampilkan pelbagai ciptaan dan produk inovatif.