BALING – Dakwaan bahawa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menetapkan kenaikan kadar cukai taksiran hingga 245 peratus adalah tidak benar sama sekali kerana proses itu masih di peringkat semakan dan bantahan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, tiada sebarang keputusan dibuat kerana laporan berhubung cadangan semakan kadar taksiran itu belum dibawa ke peringkat pihak berkuasa negeri (PBN).
“Sekarang proses masih di peringkat semakan dan bantahan, jadi jangan buat kesimpulan kata cukai sudah naik, itu tak betul dan dakwaan naik 245 peratus pun tak betul,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2025 peringkat Negeri Kedah di Masjid Sultanah Bahiyah, Kampung Bawah Gunung di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, hanya selepas selesai proses bantahan dan rumusan dibuat oleh MBAS, barulah cadangan itu dibawa ke mesyuarat Exco untuk dipertimbang sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Jelasnya, tindakan pihak tertentu yang mensensasikan isu tersebut boleh mencetuskan kekeliruan sedangkan ada juga pegangan yang menerima notis penurunan taksiran, namun perkara itu tidak diwar-warkan.
“Yang disebut 245 peratus kenaikan itu melibatkan kilang, berapa ramai sangat pemilik kilang di Alor Setar? Tiba-tiba muncul pula ‘pejuang kilang’, sepatutnya kita jadi pejuang rakyat,” katanya secara sinis.
Mengulas permohonan semakan yang dibuat MBAS, beliau menjelaskan ia selaras dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan semakan dibuat setiap lima tahun.
Bagaimanapun, semakan terakhir dibuat MBAS pada 1993 menyebabkan jurang pendapatan PBT semakin ketara berbanding peningkatan kos perkhidmatan.
Jelas beliau, daripada lebih 90,000 pegangan, hanya 8,000 atau 10 peratus hadir mengemukakan bantahan.
"Yang bising tu bukan dalam 10 peratus tu, orang luar yang tak terlibat pun...jadi tak payah sensasikan, ini proses biasa.
"Negeri lain pun buat juga tapi bila berlaku di Kedah, terus jadi benda ajaib di dunia...tak apa, kita hadap sajalah," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, MBAS dalam satu kenyataan memaklumkan, semua pemilik pegangan yang berhasrat membuat semakan atau bantahan terhadap nilai taksiran dicadangkan boleh berbuat demikian sebelum 5 November 2025.
Kenyataan itu menjelaskan, Notis Penilaian Semula Cukai Taksiran telah mula diedar secara pos kepada semua pemilik pegangan yang sah bermula 9 Oktober lalu.
Semakan atau bantahan boleh dibuat dengan mengimbas Kod QR yang tertera pada notis berkenaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan gesaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah agar MBAS menyemak semula kadar baharu cukai taksiran atau cukai pintu yang didakwa naik melebihi 200 peratus bermula tahun 2026.
Ia susulan kebimbangan pelbagai pihak terhadap kesan langsung kepada rakyat serta peniaga tempatan.
Ahmad Bashah berkata, langkah drastik itu dilihat membebankan masyarakat khususnya dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.