Pemandu e-hailing aktif lebih 8,000km layak terima 800 liter RON95 sebulan

Iklan
Pemandu yang memandu melebihi 8,000 kilometer layak memperoleh 800 liter sebulan iaitu tambahan 500 liter- Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan memperkenalkan skim kelayakan berperingkat bagi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) khusus untuk pemandu e-hailing yang akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada penambahbaikan dalam usaha memastikan pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih saksama dan inklusif demi memelihara mata pencarian pemandu e-hailing.

Iklan
Iklan

Menurut MoF, tahap kelayakan siling bulanan BUDI95 bergantung kepada jumlah jarak perjalanan.

“Bagi pemandu e-hailing yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer, mereka layak menerima 300 liter seperti sedia ada.

Iklan

“Pemandu yang memandu antara 2,000 hingga 5,000 kilometer pula menerima tambahan 300 liter menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter. Manakala, mereka yang melebihi 8,000 kilometer layak memperoleh 800 liter sebulan iaitu tambahan 500 liter,” katanya pada Selasa.

Dalam hal ini, jelas MoF, jarak perjalanan seseorang pemandu e-hailing akan dikira berdasarkan jumlah data perjalanan yang direkodkan oleh semua Syarikat Pengendali E-Hailing (EHO), dan urusan tersebut akan dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

Iklan

“Sebagai contoh, Encik Danial memandu 1,500 kilometer dengan EHO A dan 600 kilometer dengan EHO B, maka jumlah jarak perjalanan adalah sebanyak 2,100 kilometer. Encik Danial layak menerima tambahan kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter,” kata kementerian itu.

MoF turut menegaskan bahawa setiap EHO bertanggungjawab mengemukakan rekod perjalanan bulanan pemandu e-hailing secara tepat, sahih dan lengkap kepada APAD serta LPKP Sabah dan Sarawak pada setiap awal bulan.

“Nilai ambang jarak perjalanan baharu ini ditetapkan berdasarkan kajian MoF terhadap data perjalanan e-hailing yang dikemukakan oleh EHO serta data penggunaan sebenar BUDI95 oleh pemandu e-hailing pada September 2025.

“Penurunan nilai ambang kelayakan asal daripada 3,000 kepada 2,000 kilometer serta pengenalan peringkat baharu melebihi 5,000 kilometer dibuat setelah mengambil kira pergerakan tanpa penumpang yang tidak direkodkan dalam aplikasi EHO,” tambah MoF.

Langkah tersebut diambil bagi memastikan jumlah kelayakan BUDI95 pada setiap peringkat adalah mencukupi untuk menampung jarak perjalanan harian majoriti pemandu e-hailing.

Sementara itu, kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan dengan membolehkan syarikat pengendali teksi lapangan terbang memohon fleet card di bawah Skim Kawalan Petrol dan Diesel Bersubsidi (SKPS) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Langkah itu selaras dengan pelaksanaan sedia ada bagi kategori teksi dan kereta sewa yang layak menerima sehingga 800 liter petrol RON95 bersubsidi setiap bulan.

“Namun demikian, limousin yang beroperasi di lapangan terbang dan tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak untuk memohon fleet card di bawah SKPS,” katanya.