KUALA LUMPUR - Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) diseru agar kembali kepada semangat asal penubuhannya menjadi platform kerjasama yang benar-benar jujur, konsisten dan saling mempercayai dalam memperjuangkan kelestarian industri minyak sawit.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang juga Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, menegaskan bahawa kemajuan industri minyak sawit selama dua dekad terakhir hanya dapat dikekalkan melalui kepercayaan, ketelusan dan tanggungjawab bersama semua pihak dalam RSPO.
“Kerjasama hanya berfungsi apabila kita jujur antara satu sama lain. Saya mesti boleh mempercayai anda, sebagaimana anda mesti boleh mempercayai saya.
“Dan dalam industri ini, kepercayaan diterjemahkan melalui ketelusan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Ke-25 Minyak Sawit Lestari (RSPO RT25) di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, pada Isnin.
Menurut beliau, industri minyak sawit kini telah berubah sepenuhnya, daripada dikritik hebat suatu ketika dahulu kepada menjadi antara komoditi paling telus dan boleh dijejaki di dunia.
Namun, kata Mohamad Helmy, masih terdapat hipokrasi dalam kalangan ahli RSPO sendiri, termasuk jenama global yang mendakwa menyokong minyak sawit lestari tetapi dalam masa sama menjual produk dengan label “No Palm Oil”.
“Apa maknanya apabila jenama yang duduk semeja dengan kita menjual produk bertulis ‘Tiada Minyak Sawit’?
“Jika kita benar-benar rakan kongsi, maka kata-kata mesti seiring dengan tindakan.
“Percaya kepada minyak sawit lestari bertauliah bermakna mempertahankannya secara konsisten, terbuka dan tanpa rasa bersalah,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu penebangan hutan yang sering dikaitkan dengan minyak sawit perlu dilihat secara adil dan berasaskan fakta, bukan persepsi.
Beliau memetik data daripada World Resources Institute (WRI) dan Global Forest Watch (GFW) yang menunjukkan kehilangan hutan primer di Malaysia telah menurun lebih 60 peratus sejak sedekad lalu, manakala Indonesia mencatat kadar penebangan terendah sejak rekod bermula, kedua-duanya masih mengekalkan lebih 50 peratus litupan hutan, melebihi banyak negara maju.
“Dengan hanya menuding jari kepada satu tanaman sebagai punca utama penebangan hutan adalah tidak jujur. Semua aktiviti manusia memberi kesan kepada alam sekitar.
“Tetapi tindakan menekan negara membangun dengan piawaian lebih ketat sedangkan negara kaya bebas berbuat sesuka hati, itu satu bentuk ‘apartheid ekonomi’,” katanya.
Mohamad Helmy turut menyelar pendekatan berat sebelah Kesatuan Eropah melalui Peraturan Deforestasi (EUDR) yang memberi Malaysia status ‘risiko standard’, sedangkan negara lain dengan rekod lebih buruk dikategorikan sebagai ‘risiko rendah’.
Menurutnya, pendekatan seperti ini menggambarkan sikap lama yang masih meminggirkan pengeluar minyak sawit bagi kepentingan ekonomi sendiri.
Kesan global dasar berat sebelah
Dalam ucapannya, Mohamad Helmy turut memberi amaran bahawa retorik anti-sawit antarabangsa kini memberi kesan langsung kepada pasaran global, apabila pengeluar utama seperti Indonesia dan Malaysia beralih kepada penggunaan domestik melalui program biodiesel nasional.
Katanya, Indonesia kini menjalankan program campuran biodiesel B40 menuju ke B50 dan B60, manakala Malaysia sedang bergerak ke arah B30.
Jelas beliau, setiap peningkatan campuran itu bermakna lebih banyak minyak sawit digunakan dalam negara dan kurang untuk pasaran eksport antarabangsa.
“Jika Indonesia mencapai B50, tambahan tiga hingga empat juta tan minyak sawit setahun akan diserap untuk kegunaan domestik.
“Dunia akan kehilangan akses kepada minyak sayuran paling efisien dan lestari,” katanya.
Mohamad Helmy menyifatkan keadaan ini sebagai kesan langsung daripada double standard global yang menolak minyak sawit atas alasan alam sekitar, sedangkan bahan api fosil yang jauh lebih mencemar terus diterima atas nama ‘keselamatan tenaga’.
Pekebun kecil perlu diberi ruang, peluang
Dalam nada kemanusiaan, Mohamad Helmy turut menegaskan bahawa pekebun kecil ialah tulang belakang industri minyak sawit dan mesti diberi ruang untuk membangun secara bertanggungjawab.
Beliau mengambil contoh Papua New Guinea, di mana hampir separuh pengeluaran minyak sawit disumbangkan oleh pekebun kecil, namun ramai masih hidup dalam kemiskinan walaupun negara itu memiliki litupan hutan antara tertinggi di dunia.
“Jika kita berkata tiada lagi peluasan ladang, kita sebenarnya menyuruh mereka kekal miskin. Itu bukan kelestarian, itu hipokrasi,” ujarnya.
Oleh itu, Mohamad Helmy menyeru agar RSPO dan semua pihak mencari keseimbangan antara integriti alam sekitar dan keadilan sosial, termasuk membenarkan peluasan ladang kecil yang dirancang dan dikawal dengan baik sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
Jangan biarkan orang lain mendefinisikan kita
Mengakhiri ucapannya, Mohamad Helmy menegaskan bahawa industri minyak sawit yang diusahakan secara bertanggungjawab memberi makanan kepada berbilion manusia, menyara kehidupan berjuta pekerja dan melindungi lebih banyak hutan bagi setiap tan minyak berbanding tanaman lain.
“Kita tidak boleh membiarkan orang lain mentakrifkan siapa kita. Biarlah kita mentakrifkan diri sendiri dengan kebenaran, ketelusan dan kebersamaan,” katanya sambil menegaskan bahawa inilah maksud sebenar tema “Partners in Action” tahun ini.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika isu-isu ketidaktelusan, hipokrasi dan ketidakadilan global tidak ditangani, perjuangan RSPO sendiri boleh menjadi tidak relevan.
“Kita mesti berdiri bahu-membahu, membawa satu kisah iaitu kisah yang benar untuk masa depan minyak sawit lestari,” tegasnya mengakhiri ucapan.