Kes bunuh dua beranak: Pendakwaan suspek utama warga Nepal ditangguh

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Selasa.

BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Selasa menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap suspek utama warga Nepal yang didakwa terlibat dalam pembunuhan tragis dua beranak di Kampung Sekolah Juru, di sini, pada 18 Oktober lalu.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membuat keputusan itu bagi membolehkan lantikan jurubahasa, selepas tertuduh, Dinesh Kumar Mandar, 35, tidak memahami pertuduhan dalam bahasa Melayu.

Iklan
Iklan

Mahkamah menetapkan 26 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memberi masa menyediakan khidmat jurubahasa.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan dan Anis Suhada Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Kes berkenaan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki warga Nepal direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan dua beranak tersebut.

Pada 18 Oktober lalu, mangsa, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan maut di rumah sewa mereka dengan mayat wanita itu dijumpai di dapur, manakala kanak-kanak berkenaan di tingkat atas.

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Oktober lalu, sebelum menahan tiga lelaki warga Nepal berkenaan bagi membantu siasatan.

Suspek utama ditahan di pejabat imigresen ketika cuba melarikan diri ke luar negara, manakala dua lagi diberkas di Bukit Tengah.

Siasatan mendapati motif utama kejadian menjurus kepada dendam dan cemburu antara suspek dan mangsa wanita.