GUA MUSANG - Hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak petang Isnin menyebabkan beberapa kawasan termasuk jalan utama di bandar daerah ini dinaiki air.
Paras air mula naik sekitar jam 8 malam termasuk di jalan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, selepas hujan yang bermula kira-kira jam 6 petang.
Keadaan itu menyebabkan beberapa laluan tidak dapat dilalui kenderaan ringan akibat limpahan air ke atas jalan.
Seorang peneroka sawit, Nik Ya Deraman, 63, berkata, air naik dengan cepat hingga menenggelamkan kawasan rendah dan terdapat lokasi yang menjadi laluan air deras termasuk kawasan Paloh 1.
“Hujan memang tidak berhenti sejak petang. Kereta sudah tidak boleh lalu kerana air sedalam kira-kira 0.6 meter di atas jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, hujan masih berterusan pada waktu malam namun sedikit kurang lebat berbanding pada waktu siang.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hanafi Majid, 52, dari Kampung Pulau Setelu, memaklumkan hujan lebat juga berterusan di kawasan penempatan mereka.
“Sejak petang tadi hujan tidak berhenti. Kami dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.