Pengesahan identiti digital perlu diperinci dengan dasar, perundangan jelas

Iklan
Aaron Ikram

SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk mewujudkan sistem pelesenan atau pengesahan identiti bagi platform dalam talian perlu diperincikan dengan dasar dan rangka perundangan yang lebih jelas sebelum dilaksanakan.

Pakar keselamatan siber, Aaron Ikram Mokhtar berkata, ia juga memerlukan pindaan terhadap kuasa penguatkuasaan atau kadar denda sedia ada, selain penetapan standard teknikal dan program pensijilan bagi pembekal pengesahan umur.

Iklan
Iklan

“Dari segi teknikal, kita sudah mempunyai penyelesaian seperti pendekatan jaminan umur atau pengesahan identiti melalui sistem identiti digital, pernyataan maklumat menggunakan dokumen serta pengecaman wajah,” katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan dilapor sedang mempertimbangkan keperluan mewujudkan pelesenan atau pengesahan identiti bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kemudaratan dalam talian, khususnya melalui permainan dan aplikasi digital.

Iklan

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu sedang diteliti susulan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan pelbagai platform permainan dan aplikasi dalam talian yang semakin mudah diakses.

Bagaimanapun, ujar Aaron Ikram, setiap kaedah mempunyai cabaran tersendiri melibatkan isu kebolehcapaian, kos serta privasi pengguna.

Iklan

Menurut beliau, dari sudut perundangan, perlu ada rangka kerja menyeluruh yang menetapkan had umur pengguna, tanggungjawab penyedia platform, tapisan data tertentu serta mekanisme persetujuan ibu bapa bagi pengguna bawah umur.

“Undang-undang kanak-kanak di beberapa negara seperti Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-kanak (COPPA) di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kerajaan boleh mewajibkan perlindungan serta persetujuan ibu bapa untuk kanak-kanak di bawah umur tertentu,” ujarnya.

Beliau menambah, antara model terbaik yang boleh dijadikan rujukan kerajaan ialah Akta Perkhidmatan Digital (DSA) dari Kesatuan Eropah dan Kod Reka Bentuk Bersesuaian Umur.

“Model DSA memberi tumpuan terhadap kawalan menyeluruh ke atas platform digital, manakala Kod Reka Bentuk Bersesuaian Umur pula menetapkan garis panduan perlindungan data dan keselamatan kanak-kanak.

“China pula melaksanakan pendaftaran nama sebenar untuk pemain dan had masa bermain bagi mengurangkan pendedahan kepada platform dalam talian,” ujarnya.

Menurut beliau, dari segi penguatkuasaan, terdapat beberapa pendekatan berkesan yang boleh dipertimbangkan kerajaan, termasuk mewajibkan pematuhan peraturan oleh platform stor aplikasi dan perantara digital.

“Sebagai contoh, arahkan stor aplikasi supaya mematuhi peraturan dari segi notis, tapisan umur dan penyingkiran kandungan yang melanggar penetapan medium digital.

“Selain itu, jalankan kempen pendidikan dan sediakan mekanisme sesuai bagi aduan atau penyiasatan,” katanya.