Penemuan enam rangka: Dua beradik didakwa bunuh seorang mangsa

Iklan
R Arasan (dua kanan) Dan abangnya R Utes (dua dari kiri) didakwa tuduhan membunuh seorang lelaki yang merupakan salah seorang daripada enam mangsa dalam kes pembunuhan kejam melibatkan penemuan rangka manusia di Kangkar Pulai, tahun lalu.

JOHOR BAHRU - Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Rabu, atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang merupakan salah seorang daripada enam mangsa dalam kes pembunuhan kejam melibatkan penemuan rangka manusia di Kangkar Pulai, tahun lalu.

R Arasan, 32, yang hadir bertongkat bersama abangnya, R Utes, 36, mengangguk faham pertuduhan dihadapi mereka, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh V Thamil Selvan, 28 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah tidak bernombor dekat dalam ladang kelapa sawit, Kangkar Pulai di sini, antara 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, 15 September 2025.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat sehingga 12 kali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Basir.

Pada Selasa, enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga yang dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga bulan ditemukan di sebuah rumah yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai bulan lepas.

Iklan

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suami kepada seorang daripada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lepas, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.

Susulan penemuan itu, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang telah dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.

Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.

Beliau dilaporkan berkata, polis masih menyiasat tempoh masa semua mangsa ini dilaporkan hilang, namun dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemukan.

Hasil siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah.