Lelaki maut 'terjun' dari kereta dipandu teman wanita

Iklan
Johari Yahya.

NILAI – Seorang wanita terkejut apabila teman lelakinya secara tiba-tiba bertindak keluar dari kenderaan yang dipandunya dalam kejadian di Jalan Seremban–Nilai, berhampiran Taman Kirby, Batu 9, Labu, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 20-an mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa selepas lebih 20 jam bertarung nyawa di hospital.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berusia 20-an pada jam 11.37 pagi, Selasa.

“Wanita berkenaan memaklumkan bahawa rakannya, seorang lelaki berusia 20-an, dipercayai terjatuh dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak pada 2 Februari 2026, kira-kira jam 3 petang.

Iklan

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa berada di dalam kereta yang dipandu oleh pengadu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, berlaku perbincangan sebelum mangsa dipercayai bertindak keluar dari kenderaan tersebut secara tiba-tiba.

Iklan

Ujarnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri di lokasi dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta kaki.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa, jam 12.35 tengah hari, oleh pegawai perubatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Justeru, kata Johari, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.