Mesyuarat Agung Tahunan pertama Majlis Media Malaysia Jumaat ini

Iklan
Lembaga tadbir MMM akan dipilih pada AGM pertama badan itu di Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

SHAH ALAM - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama Majlis Media Malaysia (MMM) akan diadakan pada Jumaat ini, menandakan satu pencapaian penting dalam penubuhan sebuah badan kawal selia kendiri bagi industri media di Malaysia.

Pengerusi interimnya, Premesh Chandran berkata, AGM tersebut akan memilih lembaga tadbir pertama MMM yang terdiri daripada wakil syarikat, pengamal dan pertubuhan media serta organisasi selain individu yang mewakili kepentingan awam.

Iklan
Iklan

"Lembaga ini akan mempunyai 12 ahli terpilih, disertai sehingga enam ahli lantikan dan dua wakil kerajaan, menjadikan keseluruhannya 20 ahli lembaga bersama seorang pengerusi lantikan.

"Lembaga baharu ini juga akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun. Mesyuarat ini juga akan membincangkan beberapa usul penting termasuk untuk meluluskan kod etika dan mekanisme aduan serta usul operasi berkaitan yuran keahlian, elaun pengerusi dan lembaga serta belanjawan MMM," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, AGM pertama itu dianjurkan oleh lembaga pengasas MMM yang telah dilantik oleh Menteri Komunikasi pada Julai lalu.

Ujarnya, di bawah Akta MMM, mandat lembaga pengasas adalah untuk membuka keahlian, memanggil AGM pertama dan mengadakan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pelantikan.

Iklan

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli lembaga pengasas atas dedikasi mereka dalam membangunkan organisasi permulaan ini. Mereka telah menyumbang sepenuhnya secara sukarela tanpa sebarang pembiayaan khusus," katanya.

Premesh turut menyampaikan penghargaan kepada Faiz Mustafa yang telah berkhidmat secara sukarela sebagai setiausaha interim.

"Pengalaman Faiz dalam bekerjasama dengan agensi kerajaan amat bernilai dalam membantu kami menguruskan proses dan prosedur rasmi," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, bagi tahun 2025, kerajaan memperuntukkan lebih kurang RM120,000 yang terhad kepada pembiayaan pembangunan keahlian, AGM pertama dan aktiviti berkaitan yang akan diterima pada minggu terakhir bulan Oktober.

Menurutnya, dana operasi untuk pejabat, sekretariat dan aktiviti MMM berjumlah RM4 juta dijangka diterima pada suku pertama tahun 2026 selepas kelulusan belanjawan kementerian yang baharu dibentangkan di Parlimen.

"Kami telah berjaya menubuhkan sebahagian besar infrastruktur awal MMM termasuk membuka akaun bank, laman web, melantik penasihat undang-undang, membangunkan prosedur operasi dan kod etika serta memproses permohonan keahlian dan mengatur AGM ini sepenuhnya melalui usaha sukarela.

"Ini mencerminkan komitmen dan tekad tinggi untuk menjadikan MMM ini berjaya," katanya.

Sementara itu, Premesh menjelaskan, ahli lembaga baharu yang dipilih akan mempunyai mandat penuh, kakitangan dan sumber yang mencukupi untuk melaksanakan fungsi MMM seperti yang diperuntukkan dalam akta.

Katanya, lembaga pengasas telah mengenal pasti lima bidang keutamaan untuk fasa seterusnya MMM seperti pengukuhan institusi, reformasi undang-undang media, kelestarian dan inovasi media, literasi media serta pembangunan kemahiran kewartawanan.

AGM pertama tersebut akan bermula pada jam 3 petang di The iSpace, Menara Kenari, Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.