KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menerima sebanyak 257 permohonan baharu bagi pembinaan telaga tiub dalam usaha pesawah memperkukuh sumber air alternatif di sawah masing-masing.
Pengurus Besar Kada, Mohd Faizul Mustafa berkata, jumlah permohonan tersebut menunjukkan pesawah kini semakin proaktif mencari penyelesaian terhadap isu pengairan, terutama ketika musim kering atau apabila bekalan air utama berkurangan.
“Kami menerima permintaan tinggi terhadap pembinaan telaga tiub bagi menguruskan keperluan air.
“Kada menyambut baik inisiatif ini dan akan terus menyalurkan bantuan mengikut keutamaan kawasan serta kemampuan kewangan agensi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2023 hingga 2024, Kada dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran telah membina sebanyak 370 unit telaga tiub di seluruh kawasan seliaan Kada yang merangkumi Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat.
Menurut Mohd Faizul, bagi musim penanaman 1/2025, Kada membekalkan air kepada pesawah selama 56 hari daripada jumlah keperluan semusim iaitu 132 hari, bersamaan 42.42 peratus.
Katanya, sepanjang baki 76 hari atau 57.58 peratus tempoh yang tidak dapat dibekalkan air melalui saliran utama, Kada menyalurkan sokongan logistik dan teknikal kepada pesawah supaya tanaman padi tidak terjejas.
“Kada mengagihkan pam mudah alih, telaga tiub dan bantuan diesel bagi menggerakkan air ke kawasan kritikal, termasuk kawasan yang jauh dari rumah pam utama.
“Langkah ini penting untuk mengekalkan kelembapan tanah dan mengelak kegagalan tanaman,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Kada turut memperkukuh tindakan lapangan dengan menempatkan sebanyak 226 unit pam mudah alih pelbagai kapasiti di seluruh kawasan jajahan.
Ujar Mohd Faizul, tanaman padi di bawah Kada pada musim ini mencapai keluasan 25,101 hektar atau 94.14 peratus daripada keseluruhan kawasan berkeluasan 26,664 hektar.
“Fokus utama Kada ialah memastikan pengurusan air, sokongan teknikal dan bimbingan pertanian dilaksanakan secara bersepadu supaya hasil pesawah terus meningkat.
“Saya juga menasihatkan pesawah agar mematuhi jadual tanaman musim akan datang supaya seiring dengan penjadualan bekalan air oleh Kada,” katanya.