KUALA LUMPUR – Keluarga kepada murid Tahun Empat, Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu di sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan mahu pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.
Peguam keluarga, Muhammad Yazid Mohamad Salim dari firma Tetuan Yazid Tishondra berkata, desakan itu dibuat selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi daripada pihak polis, pendakwa raya mahupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Sehingga hari ini, keluarga hanya menerima maklumat daripada pakar patologi yang menjalankan bedah siasat. Tiada penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa lain.
"Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga pernah membangkitkan kes ini di Dewan Rakyat tentang mengapa hanya disiasat mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan (KK) iaitu buli melalui komunikasi, bukannya 302 KK kesalahan bunuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar bertempat di pejabat peguam bela dan peguam cara Yazid Tishondra di Solaris Mont Kiara, di sini, pada Isnin.
Muhammad Yazid mendakwa, hasil post-mortem pada 2 Oktober lalu mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher, namun laporan penuh bedah siasat masih belum diterima oleh ahli keluarga.
"Doktor memberitahu kesan tiga sentimeter di sekeliling leher itu berkemungkinan daripada kain skaf pengakap yang digunakan, dan terdapat satu lagi kesan bersaiz kira-kira satu sentimeter terletak secara simetri di bahagian tepi ke hadapan dengan sedikit putus pada bahagian depan. Punca sebenar kesan tersebut yang mana satu membawa kepada kematian belum dapat dijelaskan," dakwanya.
Menurutnya yang dilantik sebagai peguam rasmi pada 15 Oktober lalu, keluarga turut dimaklumkan bahawa wujud beberapa elemen mencurigakan dalam siasatan termasuk catatan dalam buku tulisan kelas tertera mesej berbentuk ugutan terhadap arwah, selain insiden buli dan pergaduhan yang dikatakan pernah berlaku antara arwah dengan beberapa rakan sekelas.
“Kami difahamkan pihak polis turut mengambil sampel tulisan tangan untuk dibandingkan dengan mesej dalam buku berkenaan.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada siasatan yang dibuat di bawah Seksyen 507c KK sudah memadai, atau perlu ditukar kepada Seksyen 302 KK (membunuh),” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pihaknya menghormati siasatan yang dijalankan polis, namun menegaskan terdapat keperluan mustahak untuk Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak segera bagi menentukan langkah susulan.
“Kami dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya bahawa mereka masih menunggu tarikh untuk membentangkan kes kepada Peguam Negara.
"Jadi, kami merayu agar perkara ini disegerakan jangan biar keluarga menunggu tanpa jawapan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa satu prosiding inkues adalah penting sekiranya siasatan sedia ada gagal menjawab persoalan utama mengenai bagaimana kematian arwah berlaku.
“Inkues akan membolehkan semua pihak terlibat termasuk guru, murid dan saksi lain dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Koroner.
"Sekurang-kurangnya keluarga mendapat hak untuk mendengar sendiri keterangan itu,” tegas beliau.